PARIS: Pengendali Perancis, Didier Deschamps menarik nafas lega apabila tonggak pertahanan, William Saliba disahkan berada dalam keadaan cergas meskipun sebelum ini timbul kebimbangan mengenai kecederaan belakang dialaminya.
Deschamps menegaskan, benteng Arsenal itu tidak berdepan masalah serius dan bersedia diturunkan jika diperlukan menjelang persiapan skuad Les Bleus menghadapi Piala Dunia.
“William berada dalam keadaan baik. Kami hanya perlu menguruskan beban permainannya dengan teliti. Jika dia perlu bermain esok, dia mampu beraksi,” katanya.
Sebelum ini, beberapa laporan media mendakwa Saliba mungkin terlepas aksi awal Perancis selepas mengalami masalah belakang ketika mengharungi jadual padat bersama Arsenal.
Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu berjaya menghabiskan 120 minit permainan dalam aksi final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang menyaksikan Arsenal tewas kepada Paris Saint-Germain (PSG), Sabtu lalu.
Kehadiran Saliba dianggap cukup penting buat Perancis selepas dia menjadi antara watak utama kejayaan Arsenal menamatkan penantian lebih dua dekad untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Bek tengah itu turut melaporkan diri ke kem latihan kebangsaan bersama lima pemain PSG iaitu Bradley Barcola, Lucas Hernandez, Ousmane Dembele, Desire Doue dan Warren Zaire-Emery yang baru selesai mengharungi aksi final UCL.
Skuad Les Bleus akan memulakan kempen Kumpulan I Piala Dunia bertemu Senegal pada 16 Jun, diikuti Iraq serta Norway. – AGENSI/UTUSAN










