Houston: DR Congo enggan jadikan keputusan seri 1-1 menentang Portugal sekadar menjadi detik bersejarah, sebaliknya bertekad meneruskan kejutan bagi memburu tiket ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026.
Jurulatih DR Congo, Sebastien Desabre menegaskan, skuad kendaliannya berhak meraikan kejayaan meraih mata pertama dan menjaringkan gol sulung di pentas Piala Dunia, namun mengingatkan pemain bahawa perjuangan sebenar masih panjang.
Yoane Wissa muncul wira apabila meledak gol penyamaan pada masa kecederaan babak pertama untuk menghadiahkan satu mata bersejarah buat negaranya yang kembali ke pentas dunia selepas penantian selama 52 tahun.
Pada penampilan terdahulu pada 1974 ketika masih dikenali sebagai Zaire, mereka pulang dengan tangan kosong selepas tewas dalam semua perlawanan dan gagal menjaringkan sebarang gol.
“Ia penting untuk diraikan. Ini mata pertama dan gol pertama kami di Piala Dunia.
“Saya bangga dengan pemain saya, tetapi saya juga mengingatkan mereka supaya segera berehat dan bersedia untuk dua lagi perlawanan menentang Colombia dan Uzbekistan,” katanya.
Menurut Desabre, anak buahnya berdepan tekanan tinggi selepas dibolosi seawal minit keenam, namun berjaya bangkit untuk mengimbangi permainan.
“Kami menjangkakan separuh masa pertama yang sukar. Sedikit demi sedikit kami mula menguasai permainan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol menerusi situasi bola mati.
“Kami bermain dengan sangat baik. Mungkin kami boleh melakukan lebih baik ketika serangan balas, tetapi kami gembira dengan keputusan seri ini,” katanya.
Desabre menegaskan sasaran utama DR Congo sejak awal adalah untuk melepasi peringkat kumpulan dan satu mata yang diraih bukanlah penghujung perjalanan mereka.
“Ia hanya langkah pertama. Kami sentiasa mahu melakukan lebih baik, berlari lebih pantas dan meningkatkan mutu permainan.
“Kami masih perlu memperbaiki aspek serangan, tetapi sistem permainan yang digunakan membantu pasukan dan pemain memberikan komitmen 100 peratus terhadap pendekatan taktikal yang dirancang.
“Kami gembira kerana berjaya mengikat salah satu pasukan terbaik dunia, tetapi kami memerlukan lebih banyak mata untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Beliau turut memuji kekuatan mental pemain yang tidak panik meskipun ketinggalan awal.
“Corak permainan membantu kami kerana selepas Portugal menjaringkan gol awal, mereka merasakan kami tidak lagi memberi ancaman.
“Tetapi kami mempunyai kekuatan mental. Kami tahu bagaimana untuk bangkit selepas permulaan yang sukar dan pemain saya sentiasa mempunyai sikap yang tepat,” katanya.










