PARIS: Penyerang Iraq, Ali al-Hamadi menjadikan kisah hidupnya yang penuh liku sebagai sumber kekuatan menjelang aksi penting menentang Senegal dalam perlawanan terakhir Kumpulan I Piala Dunia 2026, hari ini.
Ali pernah menjadi pemain Iraq pertama beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Ipswich pada Ogos 2024, melalui perjalanan hidup yang mencabar sejak kecil apabila dibawa keluar dari Iraq ketika masih bayi akibat konflik perang.
Bapanya, Ibrahim al-Hamadi merupakan aktivis yang menentang rejim Saddam Hussein sebelum dipenjarakan dan diseksa, sekali gus memaksa keluarganya mencari perlindungan di Jordan sebelum menetap di England.
Membesar di kawasan Toxteth, Liverpool kehidupan Al-Hamadi tidak mudah apabila keluarganya berdepan kesusahan ekonomi serta kekurangan makanan, selain terdedah kepada persekitaran sosial yang mencabar.
“Saya pernah mengalami keadaan di mana kami tidak mempunyai makanan yang cukup, tetapi ibu bapa sentiasa berusaha memberikan yang terbaik,” katanya.
Selain itu, dia turut berdepan cabaran seperti diskriminasi perkauman di sekolah serta pengalaman pahit dalam bola sepak remaja, namun memilih untuk tidak menyerah kepada tekanan persekitaran.
“Saya pernah terjebak dengan pengaruh negatif, tetapi saya memilih untuk fokus kepada bola sepak,” katanya.
Keputusan untuk terus berjuang dalam sukan tersebut membuahkan hasil apabila Ali kini mewakili Iraq di pentas tertinggi dunia, termasuk menjaringkan gol penting dalam aksi kelayakan menentang Bolivia.
Menjelang pertemuan dengan Senegal, Ali berkata, pengalaman hidupnya memberi kelebihan dari segi mental dan motivasi untuk beraksi di tahap tertinggi.
“Saya rasa pengalaman hidup saya memberi saya sedikit kelebihan, lebih semangat dan perspektif yang berbeza,” katanya. – AFP










