Daniel Gimenez Alcaniz dilantik terajui Negeri Sembilan FC - Utusan Malaysia

Daniel Gimenez Alcaniz dilantik terajui Negeri Sembilan FC

Daniel Gimenez Alcaniz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pasukan bola sepak, Negeri Sembilan FC (NSFC) hari ini mengumumkan pelantikan jurulatih dari Sepanyol, Daniel Gimenez Alcaniz, 42, sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu bagi menghadapi Liga Super musim 2026/27.

Dalam satu kenyataan petang ini, NSFC memberitahu, pemegang lesen UEFA Pro itu membawa bersama lebih sedekad pengalaman dalam bola sepak profesional merentasi Eropah, Asia dan Afrika.

Sepanjang karier kejurulatihannya, Daniel pernah berkhidmat bersama kelab di Labanon, Al Ahed FC, Al Nejmeh SC dan Akhaa Al Ahly FC serta Al Hilal (Sudan) dan Modern Sport FC (Mesir).

Beliau juga pernah membimbing skuad Bawah 17 Tahun Kebangsaan Lubnan serta Al-Nasr Club di Liga Profesional Oman.

“Antara pencapaian terbesar beliau ialah memenangi Piala AFC 2019 bersama Al Ahed FC dan menjuarai Liga Perdana Sudan bersama Al Hilal.

“Terkini, beliau menamatkan saingan Liga Profesional Oman bersama Al Nasr di tempat ketiga dan melayakkan kelab tersebut ke saingan Arab Club Champions Cup,” kata kenyataan itu.

Pengerusi NSFC, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemilihan Daniel adalah selaras dengan hala tuju dan genetik yang ingin diterapkan oleh NSFC iaitu menekankan pembangunan pemain muda, identiti permainan yang jelas, disiplin taktikal serta pembentukan pasukan yang kompetitif serta mampan.

Jelasnya, selepas melalui proses penilaian yang teliti, pihak kelab percaya beliau merupakan calon yang paling sesuai untuk menerajui projek bola sepak yang sedang dibangunkan NSFC.

“Apa yang menarik perhatian kami bukan sahaja pengalaman beliau di pelbagai negara dan pertandingan antarabangsa, tetapi juga falsafah bola sepak yang seiring dengan identiti Negeri Sembilan FC,” katanya.

“Kami mengalu-alukan kehadiran Daniel Giménez Alcañiz ke Negeri Sembilan,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN