PARIS: Pemain Poland, Maja Chwalinska mencipta sejarah pada Terbuka Perancis apabila menjadi pemain kelayakan pertama dalam era profesional yang berjaya mara ke final kejohanan berprestij itu selepas menewaskan Diana Shnaider di peringkat separuh akhir, semalam.
Pemain ranking ke-114 dunia itu menundukkan Shnaider 7-6 (7/4), 6-4 untuk menempah pertemuan dengan pemain remaja Russia, Mirra Andreeva yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke final selepas menewaskan Marta Kostyuk dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Kejayaan Chwalinska itu menyaksikannya menjadi pemain kelayakan wanita pertama dalam era profesional yang mara ke final Terbuka Perancis, sekali gus berpeluang mencipta satu lagi sejarah sekiranya berjaya merangkul kejuaraan esok.
Jika menewaskan Andreeva, pemain berusia 24 tahun itu akan menjadi wanita kedua dalam era Terbuka yang muncul juara Grand Slam selepas melalui pusingan kelayakan, mengikuti pencapaian Emma Raducanu pada Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2021.
“Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku. Saya benar-benar tidak tahu hendak berkata apa. Saya cuma sangat gembira,” katanya selepas kemenangan tersebut di gelanggang utama Court Philippe Chatrier.
Chwalinska yang membuat penampilan sulung dalam undian utama Roland Garros musim ini telah memenangi sembilan perlawanan berturut-turut termasuk tiga aksi kelayakan sebelum melangkah ke final.
Dalam laluannya ke pentas akhir, dia menewaskan pemenang pingat emas Olimpik, Zheng Qinwen pada pusingan pertama sebelum menyingkirkan beberapa nama besar termasuk Elise Mertens, Maria Sakkari, Diane Parry dan Anna Kalinskaya.
Kemenangan itu turut dijangka melonjakkan kedudukan Chwalinska ke ranking tertinggi dalam kariernya iaitu sekurang-kurangnya nombor 21 dunia.
Sementara itu, Andreeva mara ke final Grand Slam pertamanya selepas membenam cabaran Kostyuk 6-1, 6-3 dalam tempoh hanya 76 minit.
Pemain berusia 19 tahun itu tampil cemerlang untuk membalas dendam atas kekalahan kepada Kostyuk dalam final Terbuka Madrid sebelum ini.
“Saya sangat gembira dengan corak permainan saya hari ini dan lebih gembira kerana berjaya membalas kekalahan di Madrid serta mara ke final Grand Slam pertama,” katanya.
Kostyuk yang hadir dengan rekod 17 kemenangan berturut-turut di gelanggang tanah liat gagal mengekalkan rentak apabila melakukan 34 kesilapan sendiri sepanjang perlawanan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Andreeva mengumpul 35 kemenangan sepanjang musim 2026, jumlah tertinggi dalam Jelajah WTA setakat ini. – AFP










