GUADALAJARA: Marcelo Bielsa mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan Uruguay yang tersingkir seawall peringkat kumpulan di Piala Dunia 2026.
Kesilapan penjaga gol Fernando Muslera menyebabkan Uruguay tewas 0-1 kepada Sepanyol, sekali gus mengesahkan penyingkiran mereka selepas seri dengan Cape Verde dan Arab Saudi.
“Kami sepatutnya memperoleh tujuh mata tetapi hanya dapat dua. Kami gagal mencapai nisbah yang boleh diterima antara peluang yang dicipta dan hubungan antara gol yang dibolosi serta peranan lawan dalam menjaringkan gol itu juga lemah. Semua gol itu boleh dielakkan.
“Wartawan dan peminat bola sepak Uruguay secara sah mahu menyalahkan saya. Saya yang bertanggungjawab dan saya perlu menerimanya,” kata pengendali Uruguay itu.
Muslera turut melakukan kesilapan dalam kedua-dua gol Cape Verde ketika seri 2-2 dan Bielsa berkata keputusan untuk menggantikan penjaga gol berusia 40 tahun itu pada babak kedua ketika menentang Sepanyol dibuat atas permintaan pemain itu sendiri.
“Muslera sendiri memutuskan untuk keluar pada separuh masa dan saya menggantikan Valverde dengan Federico Vinas kerana saya mahu menambah kekuatan fizikal di jentera serangan,” katanya.
Beliau mengakui keputusan untuk terus mempercayai Muslera memakan diri, namun menjelaskan pertimbangannya berdasarkan prestasi penjaga gol itu sebelum ini.
“Saya tidak menafikan atau mempertikaikan penilaian terhadap prestasi Muslera, tetapi pada masa sama dia adalah penjaga gol yang hadir selepas musim yang cemerlang dan mempunyai personaliti serta karakter yang kuat.
“Saya tidak mahu melemahkan keyakinannya, sebaliknya mahu mengekalkannya,” katanya.-AGENSI










