Belgium terdesak, Iran berdepan cabaran luar padang

Belgium terdesak, Iran berdepan cabaran luar padang

Penyerang Iran, Mehdi Taremi (kiri) dan tonggak tengah, Alireza Jahanbakhsh berlatih bersama rakan sepasukan menjelang pertemuan menentang Belgium esok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Belgium bertekad memburu kemenangan pertama dalam kempen Piala Dunia 2026 apabila berdepan Iran dalam aksi penting Kumpulan G hari ini.

Kedua-dua pasukan kini mengumpul satu mata selepas seri dalam perlawanan pembukaan masing-masing, sekali gus menjadikan pertembungan itu amat penting dalam menentukan peluang mara ke pusingan seterusnya.

Belgium memulakan kempen dengan keputusan mengecewakan apabila sekadar seri 1-1 menentang Mesir apabila skuad yang dikenali sebagai Red Devils itu ketinggalan pada separuh masa pertama sebelum berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol sendiri pemain lawan setelah kemasukan penyerang berpengalaman, Romelu Lukaku.

Keputusan itu menimbulkan persoalan terhadap Belgium yang masih cuba mengembalikan reputasi mereka selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2022 di Qatar.

Pasukan Belgium dijangka tampil lebih agresif dengan harapan tinggi disandarkan kepada Kevin De Bruyne, Jeremy Doku dan penjaga gol utama, Thibaut Courtois.

Sementara itu, Iran turut berdepan tekanan selepas hanya mencatat keputusan seri 2-2 dengan New Zealand dalam aksi pertama mereka.

Iran dijangka mempertaruhkan ketajaman kapten, Mehdi Taremi selain Ramin Rezaeian dan Mohammad Mohebi yang menjaringkan gol ketika menentang New Zealand.

Kemenangan dalam perlawanan ini mampu membuka laluan lebih cerah kepada mana-mana pasukan untuk melangkah ke pusingan 32 terbaik, dengan sekurang-kurangnya empat mata daripada dua aksi berikutnya, Belgium atau Iran berpeluang mengesahkan tempat sama ada sebagai juara kumpulan atau naib juara.

Dalam perkembangan lain, Iran turut berdepan cabaran logistik sepanjang kejohanan apabila terpaksa memindahkan kem latihan mereka dari Arizona ke Mexico sebelum saingan bermula susulan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN