PETALING JAYA: Kuartet 4×100 meter (m) lelaki negara berpotensi untuk memecahkan rekod kebangsaan selepas hanya dipisahkan 0.13 saat (s) ketika meraih emas di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, kelmarin.
Kuartet yang dibarisi Muhammad Azeem Fahmi, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif hanya digandingkan kurang daripada lima hari sebelum kejohanan menamatkan larian dengan catatan 39.16s.
Jaguh pecut negara, Azeem berkata, dia tidak menolak kemungkinan kuartet ini bakal mengatasi rekod kebangsaan, 39.03s di Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 (B-23) di Ordos, China pada 9 hingga 12 Julai ini.
“Saya amat positif bahawa satu hari nanti jika kami digandingkan sekali lagi dalam mana-mana kejohanan selepas ini, insya-Allah, rekod kebangsaan itu tidak akan kekal lama.
“Kami semua hampir sebaya tapi tak menjadi masalah langsung sebab kami semua sudah berlari sesama sendiri sejak di bangku sekolah lagi. Fokus sekarang, laksanakan setiap perlumbaan dan peluang yang kami ada.
“Saya amat positif dengan apa yang akan kami capai pada masa hadapan nanti. Insya-Allah muka yang sama akan berlari di Kejohanan Olahraga Asia B-23 dan saya berharap kami semua akan lakukan terbaik dalam acara individu,” katanya.
Bagaimanapun, tempat Danish bakal digantikan dengan pelari lain kerana berdasarkan peraturan pertandingan setiap atlet yang mengambil bahagian perlu lahir di antara 2004 hingga 2006. Danish lahir pada 2007.
Rekod 4x100m lelaki negara dipegang oleh gandingan Aliff Iman Fahimi, Jonathan Nyepa, Aidil Auf dan Danish ketika mereka beraksi Sukan SEA 2025.-UTUSAN









