Ahli gabungan jangan jadi ‘pak turut’

Ahli gabungan jangan jadi ‘pak turut’

PEKAN RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli gabungan yang bakal menghadiri Kongres Luar Biasa (EGM) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bijak dan tidak terburu-buru menerima cadangan pindaan perlembagaan yang dikemukakan hasil audit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, setiap wakil gabungan perlu menilai secara mendalam setiap cadangan yang dibentangkan demi memastikan keputusan yang dibuat benar-benar memberi manfaat kepada masa depan bola sepak negara.

Menurut beliau, meskipun cadangan itu dikatakan bertujuan memperkukuhkan tadbir urus FAM, masih terdapat beberapa perkara yang menimbulkan persoalan dan memerlukan penelitian lebih teliti.

“Kita tidak mahu pindaan perlembagaan yang dilihat tertutup atau sukar diakses, akhirnya hanya membuka ruang kepada calon-calon yang sama untuk terus mendominasi kepimpinan.

“Lebih membimbangkan jika had penggal memegang jawatan sebelum ini tidak lagi diambil kira. Perkara seperti ini perlu dinilai secara matang kerana ia boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan penyokong bola sepak,” katanya.

Menurut Pekan, wakil-wakil daripada persatuan bola sepak negeri (FA) dan kelab bola sepak (FC) perlu hadir dengan pemikiran yang bebas serta tidak terikat kepada sebarang arahan atau sentimen tertentu.

“Jangan datang dengan anggapan semua cadangan mesti disokong dan diluluskan. Kalau tidak setuju, tidak setujulah. Kalau perlu diperhalusi semula, berikan masa untuk menelitinya.

“Keputusan yang bakal dibuat bukan sekadar untuk menyelesaikan mesyuarat dalam sehari, tetapi menentukan hala tuju bola sepak negara pada masa hadapan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui masih mempunyai sedikit keraguan sama ada semua butiran pindaan yang dicadangkan benar-benar datang daripada AFC atau hasil rundingan bersama FAM.

“Saya agak skeptikal juga sama ada ia benar-benar cadangan AFC sepenuhnya atau ada perbincangan lain yang turut berlaku. Kita tidak pasti.

“Apa yang penting, keputusan yang dibuat nanti mestilah yang terbaik untuk pembangunan bola sepak negara,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN