PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia melepasi halangan pusingan kelayakan untuk beraksi pada undian utama Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Bangkok, Thailand, hari ini.
Bekas bintang No. 2 dunia itu menewaskan wakil India, Manav Choudhary 21-19, 21-18 dalam masa 31 minit pada kelayakan pertama di Stadium Nimibutr.
Kemenangan tersebut menemukan Zii Jia dengan Liao Jhuo Fu dari Taiwan dan dia tidak berdepan masalah mengetepikan pemain yang menghuni ranking ke-58 dunia itu 21-16, 21-13 dalam masa 35 minit pada kelayakan kedua.
Zii Jia yang kini melonjak ke ranking No. 67 dunia selepas beraksi baik pada Piala Thomas di Horsens, Denmark, dua minggu lalu, bakal berdepan wakil Israel, Daniil Dubovenko yang berada tangga ke-60 dunia pada peringkat 32 terbaik.
Belum pernah bertemu Dubovenko dalam mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini, Zii Jia dijangka mampu melepasi pencabarnya itu, esok, jika prestasi semasa anak jati Kedah itu diambil kira.
Turut mara ke pusingan pertama, beregu lelaki yang baru digandingkan Choong Hon Jian-Wong Vin Sean yang menewaskan wakil tuan rumah, Kittinupong Kedren-Lucas Ekarat Wedler 14-21, 21-12, 21-15 dalam masa 49 minit.
Pada peringkat 32 terbaik, Hon Jian-Vin Sean akan berdepan pasangan No. 18 dunia, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dari Taiwan.
Sementara itu, satu lagi pasangan pecah ganding, Bryan Jeremy Goonting-Muhammad Haikal Nazri yang mendapat tiket ke undian utama bermula langkah kanan setelah menumpaskan pasangan ke-62 dunia, Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai dari Taiwan 22-20, 21-13 dalam masa 30 minit.
Pada pusingan kedua, esok, Bryan-Haikal bakal mengharungi ujian lebih getir menentang beregu No. 4 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India.
Turut mara, beregu profesional yang turut tampil dengan pasangan baharu, Chia Weijie-Teo Ee Yi meraih kemenangan sulung ke atas gandingan ke-32 dunia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat dari Indonesia 20-22, 21-19, 21-11 dalam masa 55 minit.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami dua beregu wanita Malaysia, Ong Xin Yee-Carmen Ting dan Chong Jie Yu-Vanessa Ng apabila mereka tersingkir seawal pusingan pertama. – UTUSAN










