Xin Yee-Carmen Ting ambil ilmu juara dunia

Xin Yee-Carmen Ting ambil ilmu juara dunia

Ong Xin Yee-Carmen Ting menimba pengalaman berguna ketika beraksi di Piala Uber.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu muda negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting mencuri perhatian apabila mampu menggugat pasangan No.1 dunia dalam kempen Piala Uber di Horsens, Denmark.

Dalam aksi suku akhir, kelmarin gandingan remaja negara itu memberi tentangan sengit menerusi corak permainan agresif serta tidak mudah mengalah sejak awal perlawanan ketika menentang Liu Sheng Shu–Tan Ning.

Walaupun berdepan pasangan bertaraf juara dunia dalam pertemuan sulung mereka, Carmen menegaskan mereka turun tanpa rasa gentar dan enggan memberikan laluan mudah kepada lawan.

“Kami tidak mahu kalah dengan mudah kepada mereka, kami mahu beri tekanan dan tidak mudah untuk mereka menewaskan kami,” kata Carmen.

Walaupun masih jauh daripada tahap pasangan utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, Carmen mengakui pengalaman menentang gandingan terbaik dunia itu memberi banyak pengajaran berguna.

“Mereka adalah pasangan terbaik dunia, nombor satu, dan kami hanya belajar daripada mereka kerana mereka sangat kuat,” tambahnya.

Perlawanan tersebut menjadi antara tumpuan apabila pasangan muda negara itu berjaya mengheret lawan ke set penentuan dalam aksi 79 minit sebelum akur 14-21, 21-16, 13-21.

Sementara itu, pemain perseorangan negara, K. Letshanaa turut memberi tentangan sengit sehingga jaguh No.2 dunia, Wang Zhi Yi mengakui peningkatan ketara ditunjukkan pemain muda Malaysia itu.

“Saya pernah bertemu dengannya lama dahulu dan dia kini telah banyak meningkat. Dia bermain dengan sangat baik dan saya melakukan beberapa kesilapan. Keputusan mata juga rapat, jadi saya cuba kekal tenang dan berjuang untuk setiap mata,” kata Zhi Yi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN