MONTREAL: Juara dunia empat kali, Max Verstappen mengancam meninggalkan Formula Satu (F1) musim depan sekiranya perubahan terhadap peraturan enjin bagi tidak dilaksanakan.
Pemandu Red Bull itu mencadangkan pembahagian penggunaan kuasa 60-40 sebagai syarat minimum diperlukan untuk memastikan perlumbaan F1 kembali lebih tulen dan menyeronokkan.
Menurut Verstappen, sistem semasa terlalu rumit serta mengganggu aspek perlumbaan sebenar yang menjadi identiti sukan berprestij tersebut.
“Saya tahu bagaimana rasanya berlumba dalam sukan pemotoran yang lebih tulen. Bila kembali ke sini, ia terasa tidak begitu menyeronokkan.
“Saya tidak mahu terlalu negatif selepas perlumbaan seperti ini, tetapi saya tahu bagaimana rasanya memandu kereta lumba sebenar dengan aksi memotong yang semula jadi serta perlumbaan yang asli,” katanya.
Sebelum ini, Verstappen pernah memberi amaran pada Mac lalu bahawa dia mungkin meninggalkan F1 lebih awal susulan rasa tidak puas hati terhadap hala tuju peraturan baharu sukan itu.
Verstappen turut membandingkan pengalamannya beraksi dalam perlumbaan GT di Nurburgring 24 jam yang menurutnya menawarkan pengalaman perlumbaan lebih tulen dan semula jadi.
“Saya baru berlumba dengan kereta jenis lain minggu lalu dan ia mengingatkan saya betapa hebatnya perlumbaan sebenar.
“Di F1, walaupun kami diberikan kereta biasa, kami tetap mampu menghasilkan perlumbaan menarik kerana semua pemandu di sini adalah yang terbaik di dunia,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










