KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek muda negara, Sawda Hasbullah meletakkan sasaran besar untuk kembali memburu rekod dunia menjelang Kejohanan Berbasikal Trek Dunia Remaja 2026 di Belgium pada 19 hingga 23 Ogos ini.
Sawda yang kini dalam fasa transisi ke skuad elit tahun depan berkata, kejayaan sebelum ini memecah rekod dunia di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 memberi keyakinan untuk dia terus memperbaiki catatan masa terutama dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa.
“Untuk tahun ini, saya merancang untuk cuba memecahkan rekod dunia sekali lagi di Kejohanan Dunia Remaja akan datang dan saya akan cuba lakukan yang terbaik,” katanya.
Pelumba berusia 18 tahun itu turut mengesahkan tidak akan beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 kerana memberi tumpuan penuh kepada kejohanan dunia yang dijangka berlangsung lebih kompetitif.
“Saya tidak pergi SUKMA, saya lebih berharap untuk ke Kejohanan Dunia Remaja,” katanya.
Sawda yang pernah mencipta sensasi apabila memecahkan rekod dunia remaja dalam acara 1km ujian masa pada ACC 2025 di Nilai dengan catatan 1:10.818 saat (s), kini berdepan cabaran selepas rekod itu dipintas pelumba Colombia, Manuela Loaiza (1:07.659s) Mei lalu.
Namun, pelumba muda negara itu tetap optimis untuk kembali memperbaiki catatan tersebut di pentas lebih besar selepas kejayaan dan pengalaman di Kejohanan Dunia Remaja 2025 di Apeldoorn, Belanda yang menyaksikannya menamatkan saingan tempat ke-12 dalam ujian masa serta tersingkir awal dalam acara keirin.
Pelumba kelahiran Melaka itu turut menegaskan kejohanan di Limburg menjadi medan utama sebelum dia bergerak ke peringkat elit tahun berikutnya.
“Di kejohanan dunia saya akan cuba untuk mara ke final bagi semua acara yang saya sertai dan cuba sedaya upaya untuk membuat rekod terbaik dalam 1km ujian masa,” katanya. – UTUSAN










