PETALING JAYA: Ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri secara terbuka mengakui dia masih belum bersedia untuk mengikut jejak legenda negara, Datuk Azizulhasni Awang yang mengukir kejayaan dengan pengkhususan dalam acara pecut dan keirin.
Pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu menjelaskan, dia kini berada di fasa penting karier apabila masih belum mengunci disiplin terbaik sama ada untuk memberi tumpuan penuh kepada acara individu atau kekal sebagai sandaran berpasukan.
Menurut Izzah, keputusan tersebut tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana ia membabitkan hala tuju jangka panjang serta potensi sebenar yang masih dalam proses penilaian.
Katanya, situasi itu bukan hanya melibatkan dirinya, malah turut dilalui barisan pelumba negara lain yang sedang menilai kekuatan masing-masing bagi menentukan pengkhususan paling tepat.
“Untuk sekarang kami semua pelumba Malaysia memang masih mencari diri sendiri sama ada dalam acara berpasukan atau individu dan kami akan buat yang terbaik sampailah kami sempurna dalam acara tertentu,” katanya.
Dalam pada itu, Izzah menambag pengalaman perlumbaan serta kekuatan fizikal akan menjadi kayu ukur utama sebelum dia berani memfokuskan diri sepenuhnya kepada satu acara.
Dalam masa sama, dia tidak berdepan tekanan besar untuk terus menggalas tanggungjawab dalam acara berpasukan, sebaliknya melihatnya sebagai ruang terbaik untuk membina kematangan kompetitif.
Tambahnya, kemunculan pelumba junior ke skuad elit juga dijangka mempercepatkan proses transisi selain membantu memperkukuh kekuatan keseluruhan pasukan negara. – UTUSAN










