PETALING JAYA: Malaysia terpaksa menunggu lagi untuk kembali menjulang Piala Thomas, selepas kali terakhir skuad badmiton lelaki kebangsaan bergelar juara 34 tahun lalu.
Terkandas di suku akhir, bukanlah kejutan memandangkan Malaysia hadir dengan serba kekurangan khususnya di sektor perseorangan dan isu kecederaan yang melanda Man Wei Chong.
Kini, penantian itu terpaksa dilanjutkan kepada 36 tahun selepas Malaysia tumbang di tangan juara bertahan, China 0-3 pada suku akhir, kelmarin di Horsens, Denmark.
Kapten pasukan, Aaron Chia tidak menyembunyikan hakikat bahawa skuad negara pada Piala Thomas edisi kali ini hadir sebagai ‘underdog’ atau pasukan bukan pilihan.
“Kami turun sebagai ‘underdog’ menentang China. Saya rasa kami tidak rugi apa-apa, hanya melakukan yang terbaik,” katanya ketika ditemu bual wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.
Menghuni ranking No. 2 dunia bersama rakan gandingan, Soh Wooi Yik, Aaron turut menolak faktor tekanan telah mengganggu rentak mereka daripada mempamerkan aksi sebenar pada suku akhir tersebut.
Mengulas aksi beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang, jelasnya, gandingan No. 5 dunia itu sememangnya pasangan handalan dunia dan sentiasa beraksi konsisten.
“Saya rasa mereka tidak banyak berubah, tetapi mereka masih sangat konsisten di dalam gelanggang,” ujarnya.
Kutipan mata daripada Aaron-Wooi Yik sewaktu berdepan China amat penting kerana beregu No. 1 negara itu merupakan ‘tulang belakang’ skuad lelaki dan kegagalan mereka mengutip mata pertama bagi mengikat kedudukan menjadi punca kegagalan Malaysia di suku akhir.
Bukan hendak meletakkan kesalahan di bahu pasangan itu, tetapi, sebaliknya kepincangan dalam sektor perseorangan khususnya Leong Jun Hao dan Justin Hoh telah menyukarkan lagi keadaan.
Malaysia yang bergantung sepenuhnya kepada kekuatan sektor beregu untuk menjelmakan mata buat pasukan tidak seharusnya berlaku dalam acara berpasukan seperti Piala Thomas.
Justeru, sebaik pulang ke tanah air, barisan kejurulatihan perlu segera melakukan sesuatu bagi memperbaiki prestasi buruk yang dipamerkan pemain perseorangan.-UTUSAN
ends.
KAPSYEN:AARON Chia-Soh Wooi Yik gagal menghadiahkan mata penting ketika Malaysia kandas 0-3 kepada China di suku akhir Piala Thomas, kelmarin










