NEW YORK: Bintang pop dunia, Madonna, Shakira dan kumpulan sensasi K-pop, BTS bakal menggegarkan pentas final Piala Dunia 2026 menerusi persembahan separuh masa ala Super Bowl yang julung kali dianjurkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
Persembahan bersejarah itu dijadual berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey pada 19 Julai ini sempena aksi final kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.
Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, persembahan tersebut akan menjadi antara acara hiburan paling besar pernah dianjurkan dalam sejarah sukan global dengan jangkaan tontonan mencecah enam bilion penonton di seluruh dunia.
“Ini pasti akan menjadi pentas terbesar pernah diwujudkan. Kami menjangkakan berbilion penonton menyaksikan final Piala Dunia dan persembahan separuh masa ini,” katanya.
Menurut FIFA, vokalis kumpulan Coldplay, Chris Martin diberi tanggungjawab sebagai kurator persembahan berkenaan yang turut menampilkan watak popular Sesame Street dan The Muppets.
Bagaimanapun, penganjuran persembahan itu mencetuskan persoalan mengenai tempoh rehat separuh masa yang mungkin melebihi 15 minit seperti ditetapkan dalam peraturan rasmi bola sepak.
Sebelum ini, konsep sama pernah diuji ketika final Piala Dunia Kelab FIFA tahun lalu di venue sama dan menyebabkan tempoh rehat berlanjutan lebih lama daripada kebiasaan.
Dalam perkembangan sama, Shakira mengesahkan dia akan mempersembahkan lagu rasmi kejohanan berjudul Dai Dai yang diterbitkan bersama penyanyi Nigeria, Burna Boy.
Penyanyi Colombia itu turut mengumumkan kesemua hasil pendapatan daripada lagu tersebut akan disalurkan kepada Dana Pendidikan Global Citizen FIFA yang menyasarkan kutipan AS$100 juta (RM393 juta) bagi membantu pendidikan kanak-kanak di seluruh dunia.
“Ini masa yang sukar untuk dunia. Kita perlu bersatu dan memastikan pendidikan anak-anak terus diberi perhatian,” katanya.
Madonna pula menyifatkan penglibatannya dalam konsert tersebut sebagai sesuatu yang amat bermakna, terutama dalam usaha memperluaskan akses pendidikan global.
Sementara itu, BTS berkata, muzik mampu menyatukan manusia tanpa mengira sempadan dan mereka berbangga dapat menggunakan platform Piala Dunia bagi menyampaikan mesej harapan dan keharmonian.
Shakira yang sinonim dengan Piala Dunia sejak kejayaan lagu Waka Waka pada edisi 2010 sebelum ini turut memuat naik video promosi Dai Dai yang dirakam di Stadium Maracana, Rio de Janeiro.
Piala Dunia 2026 bakal menjadi edisi terbesar dalam sejarah dengan penyertaan 48 negara dan akan berlangsung di AS, Kanada serta Mexico bermula 11 Jun depan.
Selain persembahan final, tiga majlis pembukaan berasingan juga akan diadakan di ketiga-tiga negara tuan rumah dengan penglibatan ramai artis antarabangsa termasuk Katy Perry, Future, Alanis Morissette, Michael Buble, J Balvin dan Lisa. – AFP










