Korea Selatan, India ujian sebenar skuad kuadran Malaysia

Korea Selatan, India ujian sebenar skuad kuadran Malaysia

PEREJAM negara, Muhammad Afifuddin Mohd Razali (dua dari kiri) melakukan libasan ketika Malaysia menewaskan Singapura 15-9, 15-13 dalam aksi pembukaan Kumpulan C acara kuadran di Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, semalam. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kapten kuadran negara, Amirul Zazwan Amir mengingatkan rakan sepasukan agar segera memperbaiki prestasi menjelang aksi getir Kumpulan C menentang Korea Selatan dan India pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Katanya, meskipun Malaysia berjaya meraih kemenangan dalam aksi pembukaan menentang Singapura semalam, rentak permainan dipamerkan masih perlahan dan terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki segera jika tidak mahu dihukum lawan.

“Kita agak sedikit perlahan pada perlawanan pertama ini. Tapi kita akan cuba perbaiki untuk aksi hari ini sebab kita akan berdepan India dan Korea Selatan.

“Bagi saya, berdasarkan apa yang dipamerkan hari ini, permainan mereka nampak lebih baik. Jadi kita perlu tingkatkan prestasi,” katanya.

Mengulas ancaman Korea Selatan, Amirul yang mesra disapa Ayong mengakui kekuatan utama lawan terletak pada sistem hadangan yang lebih kemas dan tersusun.

Katanya, kebanyakan negara ketika ini semakin efektif menggunakan sistem hadangan tiga hingga empat pemain, sekali gus memberi kelebihan besar dalam permainan moden.

“Daripada segi hadangan, mereka lebih baik daripada kita. Banyak negara sekarang menggunakan tiga atau empat pemain untuk melakukan hadangan badan dan mereka memang lebih baik.

“Kita kena akui perkara itu. Tetapi daripada segi corak permainan keseluruhan, saya rasa kita setara,” katanya.

Mengulas persaingan dalam saingan kuadran kali ini, Amirul menyifatkan laluan Malaysia masih terbuka namun menegaskan semua pasukan mempunyai peluang sama rata untuk mencipta kemenangan.

“Dalam kuadran ini semua pasukan ada peluang, 50-50. Siapa kurang melakukan kesilapan terutama daripada aspek hadangan dan servis, pasukan itu ada peluang lebih cerah untuk menang,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN