City tidak sambut kejayaan julang trofi Piala FA

City tidak sambut kejayaan julang trofi Piala FA

Pep Guardiola
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan pemain-pemainnya tidak dibenarkan meraikan kejayaan mereka merangkul trofi Piala FA selepas menewaskan Chelsea 1-0 dalam aksi final di Wembley, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan City menjulang trofi Piala FA buat kali kelapan dalam sejarah kelab sekali gus menebus kekecewaan selepas tewas pada dua final sebelum ini kepada Manchester United dan Crystal Palace.

Gol tunggal Antoine Semenyo pada minit ke-72 memastikan skuad kendalian Guardiola terus menghidupkan peluang memburu treble domestik musim ini selepas menjuarai Piala Liga pada Mac lalu.

“Trofi ini sangat istimewa kerana tradisinya. Selepas dua kekalahan di final, membawa pulang trofi ke Manchester memang sesuatu yang menggembirakan,” kata Guardiola.

Ketika ditanya mengenai sambutan kemenangan pasukannya, pengendali dari Sepanyol itu menegaskan fokus utama kini terarah kepada baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Tidak, semua balik rumah. Walaupun satu bir pun tidak dibenarkan.

“Isnin nanti selepas aksi menentang Aston Villa, barulah kami akan meraikannya bersama pasukan wanita,” katanya.

City ketika ini masih berpeluang merampas gelaran EPL apabila hanya dibezakan dua mata di belakang pendahulu liga, Arsenal, dengan baki dua perlawanan.

Arsenal dijadual menentang Burnley manakala City akan bertandang ke Bournemouth sebelum aksi terakhir musim menentang Aston Villa pada 24 Mei ini.

Dalam pada itu, Guardiola turut memuji impak segera Semenyo yang menyertai kelab itu dari Bournemouth pada jendela perpindahan Januari lalu.

“Dia mempunyai naluri jaringan yang baik dan penyudah yang tajam. Gol itu membuktikan kualitinya,” katanya.

Bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu turut memberi penghormatan kepada John Stones dan Bernardo Silva yang dijangka meninggalkan kelab pada penghujung musim.

“Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan penghargaan saya terhadap mereka, sama ada di dalam atau luar padang.

“Bernardo seorang pemain luar biasa, jarang cedera dan mampu bermain di semua posisi dengan semangat kompetitif yang tinggi,” katanya.

Guardiola berharap anak buahnya dapat mengekalkan momentum kemenangan bagi terus memberi tekanan kepada Arsenal dalam perebutan kejuaraan liga.

“Kami mahu menamatkan musim dengan kemenangan dan memberikan penghormatan terbaik kepada semua pemain,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN