PETALING JAYA: Kebergantungan skuad badminton lelaki untuk meraih mata kemenangan daripada sektor beregu telah menjadi punca kegagalan Malaysia pada suku akhir Piala Thomas, selepas tumbang kepada juara bertahan, China 0-3 di Horsen, Denmark, kelmarin.
Malaysia tidak hadir ke Horsens dengan sebuah pasukan yang seimbang ekoran kepincangan daripada sektor perseorangan dengan mengharapkan keajaiban dapat dicipta oleh wakil negara khususnya Leong Jun Hao dan Justin Hoh.
Hanya Lee Zii Jia yang mempamerkan 100 peratus kemenangan sepanjang penampilannya pada Piala Thomas, dengan Jun Hao gagal melakar sebarang kejayaan, manakala, Justin menyumbang satu mata sewaktu berdepan Finland dalam aksi Kumpulan B.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Malaysia, Kenneth Jonassen berkata, untuk sektor perseorangan perlu dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu yang pertama Jun Hao dan Justin, manakala yang kedua ialah Zii Jia.
“Jun Hao dan Justin secara keseluruhan daripada 3-4 perlawanan yang melibatkan mereka, kedua-duanya gagal memenuhi jangkaan dan tiada keyakinan sehinggalah ke perlawanan berikut.
“Mereka gagal bermain baik dan tidak mampu mengawal tekanan daripada lawan, terlalu tergesa-gesa mendapatkan mata serta cenderung membuat keputusan berisiko yang tidak mendatangkan manfaat untuk permainan masing-masing,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.
Pengendali kelahiran Denmark itu turut bersedia memikul tanggungjawab di atas kegagalan pemain perseorangan negara yang pada anggapannya terlalu banyak kelemahan sehingga menjadi punca kekalahan pasukan.
Mengulas aksi Zii Jia, Jonassen berkata, pemain profesional Malaysia itu mempamerkan peningkatan prestasi yang cukup ketara sejak menyertai kem pasukan kebangsaan.
“Prestasi Zii Jia semakin mantap. Ujian sebenar untuknya ialah di sini (Horsens) dan saya dapat melihat dia memberikan apa yang dimahukan pasukan.
“Ini satu pengalaman baik dapat bekerja dengannya dan pasukan profesionalnya. Pemain perseorangan Malaysia yang lain perlu belajar daripada Zii Jia, bagaimana dia bekerja dan percaya kepada kemampuan dirinya sendiri,” ujarnya.
Boleh dikatakan 100 peratus kemenangan yang dicipta Malaysia sepanjang bersaing di peringkat kumpulan hadir daripada dua beregu dan Zii Jia sendiri.
Tahniah dan terima kasih buat bekas bintang No. 2 dunia itu yang mempamerkan kebangkitan prestasi di Horsens, selepas dia bergelut dengan kemerosotan prestasi gara-gara kecederaan.-UTUSAN










