Letupan di Asia Barat tapi kos hidup di meja sendiri

Letupan di Asia Barat tapi kos hidup di meja sendiri

KERAJAAN perlu bertindak proaktif melalui subsidi bersasar, kawalan harga dan pengukuhan keselamatan makanan negara agar rakyat tidak terbeban rentetan konflik Asia Barat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA bom meledak di Asia Barat, ramai tidak menyangka gegarannya mampu sampai ke dapur rakyat Malaysia.

Dunia hari ini saling terhubung melalui rantaian ekonomi global yang rapat. Walaupun peluru dilepaskan ribuan kilometer jauh, namun kesannya tetap meresap ke dalam kehidupan harian rakyat.

Harga makanan di warung, pasar dan kedai makan turut meningkat, sekali gus membebankan pengguna yang semakin terhimpit oleh kos sara hidup.

Perang di Asia Barat, khususnya di kawasan strategik seperti Teluk Parsi, mengganggu laluan utama perdagangan minyak dunia. Ketika ketegangan meningkat, harga minyak mentah melonjak dengan cepat.

Kenaikan ini tidak berhenti di sektor tenaga sahaja, sebaliknya meresap ke seluruh rantaian ekonomi. Kos pengangkutan meningkat, logistik menjadi lebih mahal dan akhirnya harga barangan asas turut naik di pasaran tempatan.

Kesan ini jelas kelihatan di Malaysia. Peniaga nasi lemak di bandar terpaksa menaikkan harga kerana kos santan, minyak masak dan bahan mentah meningkat.

Pengusaha warung kecil pula menanggung tekanan apabila harga ayam dan sayur berubah tidak menentu, sekali gus mengecilkan margin keuntungan mereka.

Sementara pemandu e-hailing turut merasai beban apabila harga petrol meningkat, sedangkan kadar tambang tidak berubah seiring. Mereka terpaksa bekerja lebih lama untuk mengekalkan pendapatan harian.

Golongan nelayan kecil juga tidak terkecuali. Kenaikan harga diesel mengurangkan kemampuan mereka turun ke laut secara kerap. Ada yang mengurangkan aktiviti menangkap ikan kerana kos operasi tidak lagi berbaloi. Keadaan ini menjejaskan bekalan ikan tempatan dan pendapatan harian mereka.

Dalam masa sama, seorang ibu tunggal di bandar terpaksa membuat pilihan sukar antara menyediakan makanan berkhasiat atau berjimat dengan makanan murah yang kurang nutrisi untuk anak-anaknya.

Data ekonomi turut mengesahkan tekanan ini. Kadar inflasi Malaysia berada sekitar tiga hingga empat peratus dalam tempoh pasca pandemik. Namun inflasi makanan mencatatkan angka lebih tinggi, iaitu sekitar lima hingga tujuh peratus pada waktu tertentu.

Ini menunjukkan kenaikan sebenar kos sara hidup yang ditanggung rakyat, terutama bagi keperluan asas, jauh lebih tinggi daripada angka purata inflasi negara.

Ketidakstabilan di Asia Barat juga berkait rapat dengan persaingan kuasa besar dunia. Campur tangan geopolitik menjadikan rantau itu medan konflik proksi yang berpanjangan.

Negara membangun seperti Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi konflik tersebut, namun tetap menanggung kesan ekonomi secara tidak langsung. Pada masa sama, gangguan rantaian bekalan makanan global menaikkan kos import gandum, jagung dan bahan asas lain.

Dalam keadaan ini, golongan berpendapatan rendah menjadi mangsa utama. Setiap kenaikan harga, walaupun kecil, memberi kesan besar kepada kehidupan mereka.

Kerajaan perlu bertindak proaktif melalui subsidi bersasar, kawalan harga dan pengukuhan keselamatan makanan negara.

ASEAN juga perlu memainkan peranan sebagai suara serantau menggesa keamanan global. Akhirnya, perang yang jauh ini tetap membakar periuk nasi rakyat di seluruh dunia. – UTUSAN

RMATT ZALEE
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN