ENAM tahun lalu, pandemik Covid-19 telah mengubah landskap ekonomi dan pasaran buruh Malaysia secara mendalam.
Kadar pengangguran meningkat kepada 4.5%, iaitu yang tertinggi dalam tempoh hampir tiga dekad, dengan lebih 700,000 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM). Namun kesan sebenar pandemik tidak hanya terletak pada angka statistik.
Krisis tersebut meninggalkan ketidaktentuan sosioekonomi yang berpanjangan apabila ramai pekerja terpaksa beralih ke sektor tidak formal, manakala sebahagian lagi terus berdepan kesukaran untuk kembali mendapatkan pekerjaan yang stabil disebabkan faktor usia, masalah kesihatan dan ketidakpadanan kemahiran.
Ketika negara mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, Malaysia kini berdepan cabaran baharu. Kali ini, ancamannya bukan berpunca daripada krisis kesihatan awam, tetapi daripada ketegangan geopolitik di Asia Barat, khususnya di sekitar Selat Hormuz, salah satu laluan perdagangan dan tenaga paling penting di dunia.
Walaupun krisis tersebut berlaku ribuan kilometer dari negara ini, kesannya mula dirasai di Malaysia. Data Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO menunjukkan bahawa jumlah kehilangan pekerjaan bagi empat bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 34.4% berbanding tempoh sama pada tahun 2025.

Pada ketika ini, kebanyakan majikan masih berusaha menyerap peningkatan kos operasi dengan mengurangkan margin keuntungan, melaraskan waktu bekerja, mengawal aliran gaji serta menangguhkan keputusan sukar seperti pemberhentian pekerja.
Namun, langkah-langkah ini tidak mampu bertahan sekiranya tekanan ekonomi global terus berpanjangan. Sekiranya krisis ini berlanjutan ke fasa kedua yang lebih serius, sektor-sektor yang sangat sensitif terhadap kenaikan harga bahan api dan gangguan rantaian bekalan akan menerima kesan paling besar.
Ini termasuk sektor perlombongan, pembuatan, pengangkutan, pembinaan, pertanian, perdagangan borong dan runcit, serta sektor makanan dan penginapan. Menyedari risiko tersebut, kerajaan telah mengambil langkah segera melalui inisiatif Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) dengan peruntukan melebihi RM710 juta bagi memperkukuh daya tahan pasaran buruh dan pembangunan modal insan.
Usaha ini turut diperkukuh melalui analitik pasaran buruh oleh KESUMA menerusi platform LMX Exchange PERKESO yang membolehkan intervensi awal dilaksanakan sebelum pemberhentian pekerja berlaku.
Keutamaan kerajaan adalah jelas, iaitu memastikan pekerja tidak tercicir terlalu lama daripada ekonomi formal. Apa yang penting, keadaan semasa tidak seharusnya dilihat sebagai peluang pekerjaan yang semakin mengecil.
Hakikatnya, pasaran buruh sedang mengalami perubahan struktur. Pekerjaan dalam sektor tertentu mungkin berkurangan, namun peluang baharu sedang muncul dalam industri yang lebih berdaya tahan dan bersifat masa hadapan.
Cabaran utama adalah memastikan pekerja bersedia untuk menyesuaikan diri melalui peningkatan kemahiran, latihan semula dan pembelajaran berterusan.
Bagi sesetengah pihak, ekonomi gig mungkin menjadi laluan alternatif, walaupun realitinya sektor ini jauh lebih rapuh. Apabila isi rumah mula berbelanja secara lebih berhatihati, permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran makanan, e-dagang dan mobiliti gig dijangka menjadi perlahan.
Dalam masa sama, kenaikan harga bahan api, kos penyelenggaraan kenderaan dan permintaan yang lemah terus menekan pendapatan pekerja gig yang sememangnya tidak menentu.
Berbeza dengan pekerja sektor formal, ramai pekerja gig masih belum menikmati perlindungan sosial yang mencukupi termasuk faedah di bawah Skim Keilatan dan Sistem Insurans Pekerjaan.
Jurang perlindungan ini tidak boleh dibiarkan terus melebar. Melangkah ke hadapan, reformasi untuk memperkukuh perlindungan sosial pekerja gig perlu menjadi keutamaan negara.
Pada saat kritikal ini, dasar kerajaan tidak boleh hanya tertumpu kepada usaha menstabilkan harga sematamata, tetapi mesti memberi fokus kepada perlindungan mata pencarian rakyat dengan keselamatan pekerjaan sebagai teras utama.
Dasar pengekalan pekerja yang disokong melalui langkah fiskal bersasar amat penting bagi memastikan majikan tidak mengambil tindakan pengurangan tenaga kerja secara pramatang.
Langkah-langkah ini perlu dilaksanakan dengan segera memandangkan unjuran Bank Dunia menunjukkan tekanan akibat krisis Asia Barat hanya dijangka mula reda secara beransuransur menjelang hujung tahun.
Dalam masa yang sama, Malaysia juga perlu terus memperkukuh penyertaan tenaga buruh dalam kalangan rakyat usia bekerja, khususnya wanita yang meninggalkan pekerjaan selepas melahirkan anak akibat peningkatan kos sara hidup dan tanggungjawab penjagaan keluarga.
Pelaksanaan Elaun Selepas Cuti Bersalin menerusi pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 merupakan satu langkah penting bagi membantu wanita kembali bekerja sambil memperkukuh ketahanan ekonomi isi rumah.
Dari sudut pandang rakyat, keadaan di Malaysia mungkin masih kelihatan stabil kerana kerajaan terus menampung kesan kenaikan harga minyak global melalui subsidi yang mencecah sehingga RM7 bilion sebulan.
Namun di sebalik ketenangan itu, tanda-tanda tekanan semakin jelas kelihatan. Pada Januari sahaja, PERKESO merekodkan 10,568 kes kehilangan pekerjaan, iaitu jumlah bulanan tertinggi pernah direkodkan.
Tanpa intervensi yang pantas dan berkesan, Malaysia berisiko menyaksikan keadaan pasaran buruh kembali merosot ke tahap seperti ketika pandemik enam tahun lalu.
Justeru, ini bukan masanya untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat . Setiap kelewatan hanya akan menambah tekanan terhadap pekerja, keluarga dan majikan yang sedang bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi.
Dalam menghayati tema Pekerja MADANI Kesuma Bangsa, pengiktirafan terhadap golongan pekerja tidak boleh sekadar bersifat simbolik atau retorik semata-mata.
Ia mesti diterjemahkan melalui perlindungan yang nyata, dasar yang responsif dan sistem keselamatan sosial yang benarbenar mampu menyesuaikan diri dengan cabaran semasa.
Akhirnya, kita mesti memastikan bahawa jaringan keselamatan yang menjadi simbol dalam logo PERKESO benar-benar berfungsi sebagaimana yang diharapkan iaitu cukup kukuh, cukup responsif dan cukup luas untuk melindungi rakyat Malaysia daripada terjerumus ketika berdepan krisis.
Penulis, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan ialah Menteri Sumber Manusia – UTUSAN










