PETALING JAYA: Kem badminton perseorangan negara terus dirundung kekecewaan apabila semua wakil Malaysia tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2026 di Kallang, semalam.
Harapan terbesar negara, K. Letshanaa bagaimanapun mencuri perhatian apabila hampir melakar kejutan ke atas pemain No. 4 dunia dari China, Chen Yu Fei sebelum tewas 21-19, 15-21, 17-21 dalam pertarungan selama 66 minit.
Pemain ranking ke-30 dunia itu nyata tampil jauh lebih matang berbanding kekalahan mudahnya kepada juara Olimpik Tokyo tersebut pada Piala Sudirman tahun lalu apabila kali ini berjaya memaksa perlawanan diheret hingga ke set penentuan.
“Ia satu perlawanan yang sangat baik kerana keyakinan dan konsistensi saya sekarang banyak membantu permainan saya di gelanggang.
“Saya memang kecewa sebab tak dapat cipta kejutan tetapi saya tetap gembira dengan prestasi sendiri,” kata Letshanaa.
Letshanaa turut mengakui pengalaman menjadi faktor utama membezakan dirinya dengan Yu Fei terutama ketika mengharungi mata-mata kritikal dalam set penentuan.
“Saya masih belajar bagaimana hendak mengawal situasi mata penting kerana pemain berpengalaman seperti dia tahu macam mana nak beri tekanan dalam situasi genting.
“Tapi saya rasa saya semakin hampir sedikit demi sedikit dengan kelompok pemain elit dunia,” katanya.
Sementara itu, Justin Hoh turut terlepas peluang ke pusingan kedua selepas tunduk kepada pemain Perancis, Christo Popov 21-13, 18-21, 14-21 walaupun sempat menguasai set pertama dan mendahului sebahagian besar aksi set kedua, semalam.
Kem perseorangan negara terlebih dahulu menerima tamparan kelmarin apabila Leong Jun Hao sekali lagi terkandas di pusingan awal selepas tewas kepada wakil Taiwan, Lee Chia Hao 21-18, 20-22, 8-21.
Turut mengikut jejak langkah sama ialah Wong Ling Ching yang gagal menyaingi pemain Jepun, Riko Gunji apabila tumpas 20-22, 17-21 dalam tempoh 49 minit sekali gus menutup terus cabaran perseorangan Malaysia di kejohanan bertaraf Super 750 itu. – UTUSAN










