KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih badminton beregu wanita Rosman Razak mengakui barisan pemain muda negara belum mampu mengisi kekosongan pasangan No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang menarik diri daripada Malaysia Masters 2026 gara-gara kecederaan.
Ekoran keputusan Pearly-Thinaah itu, cabaran negara dalam acara beregu wanita berakhir seawal pusingan pertama apabila Ong Xin Yee-Carmen Ting, Chong Jie Yu-Vanessa Ng, Cheng Su Hui-Tan Zhing Hui serta Low Zi Yu-Noraqilah Mairasah Ramdan tersingkir di peringkat 32.
Rosman berkata, ketiadaan Pearly-Thinaah sememangnya telah meninggalkan satu jurang yang cukup besar untuk diisi beregu-beregu muda pada kejohanan berstatus Super 500 itu.
Katanya, sebagai contoh, pasangan No. 21 dunia, Xin Yee-Carmen yang menggalas tugas sebagai beregu utama negara, sedangkan mereka belum mampu berbuat demikian.
“Tahap mereka masih jauh lagi. Xin Yee-Carmen masih dalam proses belajar yang mana salah dan betul. Mereka dapat merasai tekanan itu macam mana.
“Tetapi selagi proses itu kita teruskan bukan bermaksud kita terima kekalahan, tapi kita belajar daripadanya. Pemain pun kena belajar.
“Secara keseluruhan, setiap hari mereka menghadapi masalah yang berbeza-beza dan saya rasa itu sangat penting untuk proses mereka di usia yang muda dan mereka harus tempuh untuk ke tahap seterusnya,” katanya di Unifi Arena, semalam.
Tambah pula, menurut Rosman, pemain-pemain muda tersebut ada yang tidak pernah bermain pada Malaysia Masters, justeru pengalaman itu diharap dapat membantu proses kemajuan mereka.
Ketika ditanya pula mengenai persembahan beregu remaja, Zi Yu-Noraqilah yang membuat penampilan sulung pada Malaysia Masters, beliau berkata, kekalahan pasangan itu ditangan beregu China, Bao Li Jing-Cao Zi Han adalah disebabkan jurang kualiti. – UTUSAN










