ISKANDAR PUTERI: Kemenangan besar 7-0 ke atas KL City pada Sabtu lalu menjadi suntikan moral terbesar buat Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum turun dalam ‘pertempuran’ sebenar menentang Buriram United, esok.
Ketua Jurulatihnya, Xisco Munoz menyifatkan bahawa setiap pemain berada pada tahap keyakinan tertinggi dan bersiap sedia bagi membantu pasukan meraih kemenangan pada aksi pertama separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN di laman sendiri.
Menurutnya, suasana positif dalam bilik persalinan amat penting memandangkan pertemuan separuh akhir menentang juara Liga Thailand musim 2025/2026 itu dianggap sebagai aksi ‘final’ buat Harimau Selatan.
“Kemenangan besar dalam aksi Liga Super minggu lalu memberi tonik buat pemain meneruskan rentak kemenangan dalam aksi getir ini. Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kita berdepan Buriram tiga kali dan cuma menang sekali.
“Pemain perlu faham betapa pentingnya perlawanan ini buat JDT. Bagi kami, pertembungan ini diibaratkan seperti aksi final, dan kita tidak boleh buat silap. Justeru, kita perlu manfaatkan di laman sendiri dengan meraih kemenangan, kami perlukan atmosfera yang hebat daripada penyokong,” katanya.
Mengulas rekod pertemuan lalu yang menyaksikan JDT tumpas 1-2 kepada Thunder Castle dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), September lalu, pengendali kelahiran Sepanyol itu menegaskan bahawa situasi semasa pasukan kini jauh berbeza.
Menurut Munoz, ketika kekalahan itu berlaku, JDT masih dalam proses transisi yang melibatkan ramai pemain baharu serta barisan kejurulatihan yang belum serasi sepenuhnya.
“Sekarang situasinya jauh berbeza, kami sudah bekerja bersama selama sembilan bulan dan setiap individu sudah faham apa yang perlu dilakukan. Kami sudah bersedia untuk mempamerkan tahap kapasiti yang sepatutnya dalam perlawanan berprestij seperti ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Munoz mengakui ketiadaan penggempur berbisa, Bergson da Silva dan perancang tengah, Natxo Insa ketika aksi menentang KL City adalah sebahagian daripada strategi penggiliran pemain.
Beliau yang menyifatkan Bergson sebagai ‘legenda’ JDT memilih untuk merehatkan pemain utama bagi memastikan mereka berada pada tahap kecergasan 100 peratus untuk berdepan Buriram.
“Saya tidak mahu memberi maklumat lanjut (mengenai taktikal), tetapi fokus kami adalah untuk memulihkan tenaga setiap pemain agar mereka bersedia untuk aksi menentang Buriram,” ujarnya.-UTUSAN










