Rampasan dadah di Perlis cecah RM149 juta

Rampasan dadah di Perlis cecah RM149 juta

MUHAMMAD Abdul Halim (iga dari kanan) ketika melakukan tinjauan di kawasan berhutan di sempadan Padang Besar, Perlis baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pihak berkuasa di ne­geri ini sentiasa berjaya mengekang aktiviti penyeludupan dadah meskipun pelbagai helah dilakukan sindiket penyeludupan berkenaan.

Ia terbukti menerusi kejayaan hasil rampasan yang direkodkan di Perlis yang mencecah lebih RM149 juta hanya dalam tempoh tiga tahun iaitu dari 2023 hingga 2025.

Pada 2023 nilai rampasan direkodkan sebanyak RM67.74 juta manakala pada 2024 sebanyak RM22.8 juta dan 2025 mencecah RM58.8 juta.

Daripada jumlah itu, dadah jenis syabu merekodkan nilai rampasan tertinggi iaitu seba­nyak 2.8 tan metrik membabitkan nilai RM119.5 juta.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, sindiket pengedaran dadah dikenalpasti terus menggunakan laluan laut dan darat terutama melalui lorong-lorong tikus di kawasan hutan tebal sempadan negeri ini bagi me­lakukan aktiviti penyeludupan.

Katanya, jika melalui laluan laut, sindiket terbabit akan bertindak menghanyutkan dadah mengikut arus air sebelum diambil penyeludup atau me­ninggalkan dadah di jeti-jeti yang dirasakan selamat di sepanjang pesisir pantai.

“Seterusnya penyeludup meng­gunakan bot bagi melakukan kegiatan tersebut. Jeti khususnya di Kuala Perlis selalunya digunakan sebagai lokasi transit sebelum dadah berkenaan diedarkan.

“Jika penyeludup menggunakan bot, ia melibatkan pengli­batan banyak tonto dalam kala­ngan penduduk tempatan yang membantu melancarkan kegiatan menyeludup dadah tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Muhammad berkata, sindiket turut menggunakan laluan sah bagi membawa keluar dadah dengan sentiasa mempunyai helah licik.

“Sindiket akan mengubahsuai pek pembungkusan dan kenderaan bagi memudahkan mereka membawa masuk dadah ke negara ini.

“Mereka akan ubah suai kenderaan dengan menyediakan kompatmen khas untuk sembunyikan dadah selain ada ahli sindiket menjadi penumpang perkhidmatan keretapi bagi menyeludup keluar dadah,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN