Harga tiket Piala Dunia ikut pasaran AS-Infantino

Harga tiket Piala Dunia ikut pasaran AS-Infantino

PRESIDEN FIFA, Gianni Infantino, berucap pada Sidang Kemuncak Ekonomi Dunia Semafor 2026 di Washington, DC-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEVERLY HILLS: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mempertahankan harga tiket Piala Dunia 2026 dan menegaskan kos ditawarkan masih setanding dengan harga acara sukan utama lain di Amerika Syarikat (AS).

 

Menurutnya, sistem penjualan semula tiket yang dibenarkan di AS turut mempengaruhi nilai pasaran semasa.

 

Katanya, jika tiket dijual terlalu murah, ia berisiko dimanipulasi pihak tertentu untuk dijual semula pada harga jauh lebih tinggi kepada penyokong.

 

“Di AS, penjualan semula tiket dibenarkan. Jika tiket dijual terlalu murah, ia akan dijual semula pada harga jauh lebih tinggi.

 

“Malah, walaupun ada yang mengatakan harga tiket FIFA mahal, tiket itu tetap dijual semula pada harga lebih tinggi, malah ada yang lebih dua kali ganda daripada harga asal,” katanya.

 

Sebelum ini, FIFA menerima kecaman pelbagai pihak selepas harga tiket kejohanan yang akan berlangsung di AS, Kanada dan Mexico bermula 11 Jun depan dianggap terlalu mahal dan sukar dimiliki penyokong biasa.

 

Semakan di platform Ticketmaster menunjukkan dua tiket aksi peringkat kumpulan membabitkan AS dan Australia di Seattle pada 19 Jun dijual semula melebihi AS$2,700 (RM10,571).

 

Bagaimanapun, Infantino menjelaskan kira-kira 25 peratus tiket peringkat kumpulan sebenarnya ditawarkan pada harga bawah AS$300 (RM1,174), yang menurutnya masih kompetitif berbanding acara sukan popular lain di negara itu.

 

“Anda tidak boleh menonton kebanyakan acara sukan besar di AS pada harga bawah AS$300 (RM1,174), termasuk sukan kolej. Ini pula adalah Piala Dunia,” tegasnya.

 

Beliau turut mengulas mengenai laporan tiket final di East Rutherford yang pernah disenaraikan semula pada harga hampir AS$2.3 juta (RM9 juta) setiap satu.

 

“Kalau ada orang meletakkan tiket final pada harga AS$2 juta (RM7.83 juta), itu tidak bermaksud tiket itu memang bernilai AS$2 juta dan tidak semestinya ada orang akan membelinya.

 

“Kalau benar ada yang beli tiket final pada harga itu, saya sendiri akan bawa roti sosej dan Coca-Cola untuk pastikan dia mendapat pengalaman terbaik,” katanya sambil berseloroh.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN