PUTRAJAYA: Pengenalan MyKad baharu yang bakal dilancarkan pada bulan depan akan dilengkapi 53 ciri keselamatan termasuk imbasan kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berkata, antara ciri itu ialah turihan laser, ultraviolet UV, hologram, guilloche, microtext serta cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan.
Beliau menegaskan, MyKad yang ada dari dahulu hingga kini tidak boleh diklon disebabkan ciri keselamatannya walaupun sebelum ini ia mempunyai 23 ciri keselamatan.
“JPN telah bersedia untuk tujuan tersebut dan pelancaran MyKad baharu ini nanti akan diumumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Temu Mesra Pengurusan JPN Bersama Media di sini hari ini.
Badrul Hisham berkata, selain MyKad, dua lagi kad pengenalan yang akan diperkenalkan ialah MyTentera dan MyPoca.
Bagaimanapun, katanya, tiada pembaharuan bagi penggunaan MyKid.
“Pelaksanaan MyKad baharu ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan keselamatan identiti rakyat selaras dengan perkembangan teknologi dan cabaran keselamatan semasa.
“Dalam era ancaman pemalsuan identiti, jenayah rentas sempadan serta penyalahgunaan teknologi digital, negara memerlukan sistem identiti yang lebih dinamik, lebih selamat dan lebih diyakini,” katanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini memaklumkan, pengenalan dokumen baharu itu adalah satu pencapaian penting, khususnya ketika pasport Malaysia kini berada dalam kelompok pasport paling dipercayai di dunia. – UTUSAN










