PETALING JAYA: Atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri tidak akan beraksi pada Sukan Asia di Aichi-Nagoya pada September ini atas faktor kesihatan.
Perkara itu disahkan Pengarah Teknikal kem terjun negara, Yeoh Ken Nee yang memaklumkan keputusan itu dibuat sendiri oleh Dhabitah atas nasihat doktor.
Katanya, pihak pengurusan menghormati keputusan atlet berusia 27 tahun itu yang memilih untuk tidak mendedahkan secara terperinci keadaan kesihatannya.
“Dia hantar surat kepada kami dan Majlis Sukan Negara (MSN), menyatakan tidak sihat untuk bertanding berdasarkan nasihat doktor. Buat masa ini dia mahu kekalkan perkara itu secara peribadi dan kita hormati privasinya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Situasi itu sekaligus menutup peluang Dhabitah untuk beraksi di temasya berprestij tersebut, walaupun sebelum ini dia berada dalam perancangan awal skuad negara.
Menurut Kee Nee, ketiadaan Dhabitah memberi cabaran besar kepada barisan kejurulatihan untuk mencari pengganti terbaik dalam tempoh terdekat.
Jelasnya, proses pemilihan masih berjalan menerusi Malaysia International Age Group (MIAG) yang akan menjadi pentas utama menilai prestasi penerjun muda.
“Sekarang ini kita masih dalam proses pemilihan. MIAG akan jadi penanda aras, dan jika perlu kita akan lihat satu lagi kejohanan untuk memuktamadkan senarai.Kita perlu pastikan atlet yang dipilih mampu beri saingan di peringkat Asia,” ujarnya.
Tambah beliau, pemilihan akhir bukan sahaja bergantung kepada pencapaian semasa, malah turut mengambil kira Minimum Qualification Score (MQS) serta kedudukan ranking atlet di peringkat Asia.
Dalam masa sama, perancangan menyertai kejohanan di Sepanyol sebelum Sukan Asia juga masih belum pasti berikutan kekangan bajet.
“Memang ada perancangan ke Sepanyol, tetapi semuanya bergantung kepada kelulusan bajet. Bukan sukan terjun sahaja terkesan, kemungkinan besar sukan lain juga,” jelasnya.-UTUSAN










