Penyanyi yang tidak mudah mengalah - Utusan Malaysia

Penyanyi yang tidak mudah mengalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah menjangkau empat dekad Datuk Aishah Ariffin berkelana dalam dunia hiburan tanah air. pejam celik, masa pantas berlalu.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin adalah penyanyi prominen yang berjaya mencorakkan industri. Bermula zaman bersama The Fanclub, sehinggalah sekarang, penyanyi ini tetap memberi impak.

Sebab itulah, apabila ada yang mengkritik persembahan vokalnya sekarang, penyanyi berasal dari Negeri Sembilan ini sedikit pun tidak mengeluh. Beliau tahu membezakan kritikan yang membina atau memusnahkan.

“Saya jenis penyanyi yang tak mudah mengalah. Saya akan buktikan walau dihalang macam mana sekalipun.

“Saya muhasabah diri, melihat semula jika apa yang diperkatakan orang, ada benarnya atau tidak. Dalam orang mengkritik kita, sebenarnya kita lagi kritikal terhadap nyanyian sendiri.

“Kadang orang rasa nyanyian kita bagus, tapi hakikatnya kita pula merasakan ada kekurangan yang perlu ditambah baik.

“Tak apa, komen yang baik kita ambil. Jadikan ia sebagai pembakar semangat dan buktikan kepada mereka yang kita boleh melakukannya,” katanya.

Aishah berkata demikian pada sidang media Konsert Aishah 40 Years of Love di Restoran Rebung, di sini.

Aishah mengambil pendekatan untuk melupakan kritikan kosong. Baginya, setiap komen yang dilontarkan itu perlulah membina dan berisi penambah baikan.

“Yang muda pun belum tentu boleh menyanyi lagu saya, inikan pula mereka nak kutuk penyanyi yang berusia.

“Tanyalah kepada mana-mana cikgu vokal, tentunya suara kita akan berubah seiring usia. Jangan anggap anda boleh berlari ibarat orang muda. 

“Pada awalnya memang saya terasa dengan kutukan ramai. Tapi, jika difikirkan semula, tidak mungkin ada yang boleh menyanyi seperti orang muda.

“Seperkara yang pasti adalah saya tidak memiliki kematangan dan penghayatan sewaktu usia muda. Ia berbeza. Jadi kita mengharapkan peminat meraikan perubahan itu,” katanya lagi. 

Mengulas mengenai media sosial, Aishah sedar ia menjadi lubuk pandangan. Sesiapa pun boleh memberikan pandangan. Tinggal lagi kebijaksanaan penyanyi itu dalam memilih komen yang bagaimana untuk dijadikan pedoman.

“Media sosial satu perkara baharu. Awal dulu, memanglah saya lantang melawan komen. Tapi sekarang saya sedar, yang melontarkan pandangan itu, entah siapa.

“Yang bercakap seperti dialah terpaling pandai itu, rupanya tidak berlainan bidang. 

“Kalau ada nasihat yang baik, kita raikan. Yang paling penting bagi saya adalah nasihat daripada orang-orang sekeliling, yang paling rapat,” jelasnya.

Sabotaj? Biar pihak berwajib uruskan

Seperkara tentang Aishah, datanglah bermacam-macam dugaan sekali pun, dia tetap melawan. Dan hari ini, apabila tiket konsert Aishah 40 Chapter of Love disabotaj pihak tertentu, Aishah mencari solusi dan jalan keluar dari permasalahan.

“Kami bekerja keras, dalam saya bertahun-tahun ingin menganjurkan sebuah konsert, perkara ini berlaku. 

“Tapi, ada rahmat disebaliknya. Saya pada awalnya berfikir macam mana perkara ini boleh berlaku. Tetapi selepas diterangkan penganjur, barulah saya faham. 

“Pembelian tiket tidak ubah seperti membeli barangan di platform tertentu. Kami gembira bila mengetahui ada yang membeli tiket. Tapi bila dimaklumkan ramai yang tak dapat membeli, kami terkejut.

“Jadi kami sepakat untuk menukar pembelian tiket ke platform Ticketmelon.com kerana walau apa yang berlaku, vendor itu tidak akan mengaku,” kongsinya.

Ditanya sekiranya Aishah merancang untuk mengambil tindakan, katanya, biar masa yang menentukan

“Saya hanya ingin bergerak ke depan. Banyak lagu yang perlu dihafal, sibuk dengan pelbagai aktiviti mempromosikan konsert.

“Sekarang ini, saya hanya mahukan peminat dapat membeli tiket. Selain daripada itu, biarlah pihak yang berwajib melakukan siasatan. 

“Dua bulan itu singkat, saya terkejar-kejar. Saya tidak mahu menyimpan dendam. Kalau ikutkan, memang saya marah. Tetapi, perasaan itu harus dikawal,” jelasnya lagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN