PETALING JAYA: Pemain beregu lelaki utama negara, Soh Wooi Yik mengakui kehadiran pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mampu menjadi pencetus kebangkitan Malaysia dalam misi memburu kejuaraan Piala Thomas selepas lebih tiga dekad.
Malaysia yang pernah menjulang trofi berprestij itu sebanyak lima kali sejak 1949 kini terus dibayangi penantian panjang selepas kali terakhir muncul juara pada edisi 1992.
Menurut Wooi Yik, tahap keyakinan dalam kem perseorangan negara yang dibarisi Zii Jia, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao dan Justin Hoh masih belum berada pada tahap terbaik untuk mengharungi tekanan saingan berpasukan seperti Piala Thomas.
Bagaimanapun, beliau percaya kepulangan Zii Jia ke dalam skuad mampu menyuntik semangat baharu selain berpotensi menjadi faktor pemisah dalam menentukan kemenangan pasukan.
“Keyakinan dalam bahagian perseorangan mungkin belum berada di tahap terbaik, tetapi kehadiran Zii Jia memberi harapan dan mampu membawa perbezaan besar kepada pasukan,” kata Wooi Yik.
Dalam pada itu, kempen kali ini dilihat lebih tersusun dengan kekuatan beregu negara terus menjadi sandaran utama untuk mencabar pasukan terbaik dunia.
Wooi Yik berkata, barisan beregu negara yang diketuainya oleh pasangannya, Aaron Chia memiliki kelebihan tersendiri untuk menyumbang mata penting dalam setiap perlawanan.
“Beregu kami memang kuat dan itu adalah kekuatan utama pasukan, jadi kami perlu memastikan tugas kami disempurnakan sebaik mungkin,” katanya.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, England dan Finland dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir, namun pertemuan menentang Jepun dijangka menjadi penentu hala tuju dan momentum pasukan.-UTUSAN










