PETALING JAYA: Ketua jurulatih berbasikal trek remaja negara, Hermann Terryn akan menamatkan khidmatnya bersama skuad kebangsaan pada penghujung Mei ini selepas lebih dua tahun menabur bakti di Malaysia.
Jurulatih kelahiran Perancis itu berkata, keputusan tersebut dibuat atas faktor keluarga selepas isterinya menerima tawaran kerja di luar negara.
Terryn yang menyertai skuad kebangsaan pada Februari 2024 turut meluahkan rasa berat hati untuk meninggalkan program yang telah dibinanya sejak dua tahun lalu.
“Saya akan meninggalkan Malaysia pada penghujung Mei 2026 kerana isteri saya mendapat peluang kerja di negara lain dan saya akan ikut bersama keluarga.
“Saya sedih untuk menghentikan kerja di Malaysia kerana sepanjang tempoh ini saya cuba memberikan yang terbaik dengan pengalaman saya dari Perancis kepada kumpulan pelumba,” kata Terryn.
Sepanjang tempoh itu, beliau memberi tumpuan kepada pembangunan pelumba muda berusia 16 hingga 21 tahun dengan menekankan aspek kefahaman, disiplin dan kebebasan dalam latihan.
Beliau juga membangunkan ratu trek remaja negara, Sawda Hasbullah menjuarai Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) dua edisi berturut-turut menerusi acara ujian masa 1 kilometer (km) serta memecah rekod dunia pada 2025 dan rekod Asia pada 2026.
Namun di sebalik perkembangan itu, Terryn tidak menafikan wujud kelemahan struktur apabila beliau melihat jurang ketara antara Malaysia dengan kuasa besar berbasikal dunia.
“Kami melakukan beberapa perkara baik dan melihat peningkatan serta keputusan positif apabila saya cuba memberi autonomi kepada atlet untuk memahami tujuan latihan dan bagaimana mencapai tahap tertinggi.
“Terdapat jurang antara kita dengan negara besar dan juga negara kecil yang lebih tersusun, dan jika sistem tidak berubah kita akan semakin kurang keputusan kerana persaingan semakin sengit.
“Jika kita mahu pingat emas, kita perlukan sistem emas dan bukan sekadar menghantar atlet ke kejohanan dunia, selain memastikan bakat dimaksimumkan kerana tidak semua mampu menjadi seperti Datuk Azizulhasni Awang,” katanya.
KAPSYEN: Hermann Terryn memainkan peranan penting dalam kejayaan pelumba remaja wanita negara, Sawda Hasbullah.









