Sawda aset masa depan berbasikal trek

Sawda aset masa depan berbasikal trek

Sawda mengukuhkan dominasinya apabila mempertahankan pingat emas acara ujian masa 1 kilometer (km) di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina.- IHSAN ACC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu trek remaja Asia, Sawda Hasbullah membuktikan dirinya semakin matang dan mampu menggalas misi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Kelmarin, Sawda mengukuhkan dominasinya apabila mempertahankan pingat emas acara ujian masa 1 kilometer (km) di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina.

Atlet kelahiran Melaka berusia 18 tahun itu sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila memecahkan rekod remaja Asia miliknya sendiri dengan catatan satu minit 09.604 saat (s).

Kejayaan itu menyaksikan Sawda memperbaharui rekod lamanya 1:10.818s, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai pelumba remaja paling dominan di pentas Asia ketika ini.

Kemenangan itu hadir selepas dia melalui permulaan mencabar apabila terlepas podium dalam acara pecut individu selain sekadar menamatkan saingan di tempat kelima bagi keirin.

Ketua jurulatih berbasikal trek remaja kebangsaan, Herman Terryn mengakui anak buahnya itu berdepan kekecewaan sebelum bangkit mempamerkan kayuhan terbaik.

“Dia melakukan persembahan yang sangat baik dari segi keputusan dan catatan masa, walaupun sebelum itu dia agak kecewa selepas tiga acara awal dengan hanya satu pingat.

“Tetapi semalam (kelmarin) saya dapat lihat dia berada pada tahap terbaik dan mula menunjukkan kematangan dalam acara ini,” kata Terryn kepada Utusan Malaysia.

Menurut Terryn, pengalaman yang semakin bertambah membolehkan Sawda tampil lebih tenang dan tepat pada saat genting perlumbaan.

“Dia kini sudah mula memahami bagaimana untuk menjadi lebih baik pada saat penentuan,” katanya.

Sawda menamatkan ACC kali ini dengan dua pingat selepas meraih gangsa bersama Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak dan Davia Evriel Eriana Azif dalam acara
pecut berpasukan remaja wanita.

Untuk rekod, Sawda sebelum ini mencipta sensasi apabila muncul juara acara sama pada ACC 2025 di Velodrom Nasional Nilai dengan catatan 1:10.818s yang ketika itu diiktiraf sebagai rekod dunia remaja dan juga rekod Asia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN