PETALING JAYA: Penyertaan atlet ekuestrian (dressage) negara, Megan Ding Min Ern ke Sukan Asia masih belum dimuktamadkan susulan kekangan akademik dan isu pembiayaan yang masih belum selesai.
Megan yang telah layak mencapai Minimum Eligibility Requirement (MER) menjelaskan, tahun ini merupakan tempoh kritikal buatnya dari segi akademik kerana bakal menghadapi peperiksaan penting.
“Walaupun saya sudah layak dan mencapai MER, tahun depan adalah tahun peperiksaan, jadi fokus akademik juga perlu diberi keutamaan. Saya mungkin akan membuat keputusan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Katanya, faktor kewangan turut menjadi antara halangan utama apabila pihaknya masih menunggu ganjaran daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) selain kepastian mengenai sebarang bentuk sokongan dana.
Dalam masa yang sama, Megan mengakui persiapan ke temasya besar agak terjejas berikutan komitmen pelajaran yang mengehadkan masa latihan.
“Kalau saya mahu bersaing di kejohanan besar, saya mahu lakukan yang terbaik dan membuat persiapan rapi. Namun, kekangan masa latihan sedikit sebanyak memberi kesan,” ujarnya.
Pemenang pingat emas di Sukan SEA 2025 itu menyifatkan pencapaiannya dalam temasya dwitahunan itu sebagai memuaskan, namun enggan cepat berpuas hati.
“Sentiasa ada ruang untuk diperbaiki. Walaupun sudah memenangi pingat emas, saya tetap akan terus memperhalusi kemahiran dressage kerana proses ini tidak pernah berakhir,” katanya.
Sebelum ini,Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) menyasarkan satu pingat emas melalui acara dressage dengan Megan menjadi sandaran utama.-UTUSAN










