MAG perbaharui kerjasama tiga tahun dengan MATTA

MAG perbaharui kerjasama tiga tahun dengan MATTA

Bryan Foong (kanan) bersama Nigel Wong (kiri) semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di MATTA Fair Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) memperbaharui kerjasama strategik dengan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bagi tempoh tiga tahun lagi.

Pembaharuan itu menyaksikan MAG meneruskan peranannya sebagai Rakan Syarikat Penerbangan Rasmi dan Penaja Utama MATTA Fair di Kuala Lumpur serta beberapa edisi negeri terpilih di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Syarikat Penerbangan MAG, Bryan Foong berkata, kerjasama itu menyokong strategi syarikat dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk ke Asia, sejajar dengan momentum Tahun Melawat Malaysia (TMM 2026).

Beliau berkata, MAG Arena pada MATTA Fair Kuala Lumpur baru-baru ini menerima kehadiran pengunjung yang tinggi, mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap penawaran yang diperluas serta lebih interaktif.

“Melalui rangkaian yang semakin berkembang, peningkatan kesalinghubungan merentasi pasaran utama serta fokus berterusan terhadap pengalaman perjalanan menyeluruh, kami membuka lebih banyak akses ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Pembaharuan itu turut mencerminkan peranan berterusan MAG dalam membentuk ekosistem pelancongan negara dengan memanfaatkan MATTA Fair sebagai platform untuk merangsang permintaan, memperkukuh kesalinghubungan serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk ke Asia.

Melalui kerjasama itu, MAG memainkan peranan dalam memperluas skala dan capaian MATTA Fair di samping menawarkan nilai tambah kepada pelancong.

MAG turut memperkukuh kehadirannya di MATTA Fair, antaranya melalui pengenalan MAG Arena, iaitu pavilion perdagangan syarikat penerbangan terbesar di Asia dalam pameran pelancongan pengguna yang menerima pengiktirafan Asia Records dan ASEAN Records.

Pavilion seluas kira-kira 46,000 kaki persegi itu, hampir tiga kali ganda lebih besar berbanding sebelum ini, menampilkan pengalaman interaktif, teknologi pelancongan generasi baharu serta pengaktifan kerjasama sukan berskala besar, termasuk bersama Manchester United dan ikon negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Sementara itu, Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, pembaharuan kerjasama tersebut mencerminkan visi bersama antara MATTA dan MAG dalam membangunkan industri pelancongan yang progresif dan berdaya tahan.

“Selain kerjasama komersial, ia turut melambangkan komitmen bersama dalam menawarkan pengalaman perjalanan bernilai tinggi serta menyokong agenda pelancongan negara, khususnya bagi menjayakan TMM 2026.

“MAG kekal sebagai penyokong kukuh MATTA Fair dan peranannya sebagai Penaja Utama membantu meningkatkan keupayaan penganjuran pameran bertaraf dunia yang menghubungkan pelancong dengan pelbagai pilihan perjalanan,” ujarnya.

Selain edisi utama di Kuala Lumpur, MATTA Fair turut diperluas ke seluruh negara bagi membuka lebih banyak peluang perjalanan kepada komuniti tempatan.

MAG akan menyertai beberapa edisi MATTA Fair di Johor Bahru (10 hingga 12 April), Kota Kinabalu (17 hingga 19 April) dan Pulau Pinang (25 hingga 26 April) dengan menawarkan promosi perjalanan eksklusif termasuk diskaun sehingga 30 peratus, barangan eksklusif serta pameran produk interaktif.

Sebagai Rakan Syarikat Penerbangan Rasmi MATTA Fair, MAG akan memainkan peranan dalam menghubungkan pelancong ke pelbagai destinasi baharu serta memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk utama ke Asia, sekali gus menyokong aspirasi jangka panjang sektor pelancongan dan ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×