‘Meja bulat’ demi masa depan bola sepak

‘Meja bulat’ demi masa depan bola sepak

JOHAN KAMAL HAMIDON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, menjelaskan cadangan rundingan meja bulat melibatkan semua kelab Liga Malaysia (Liga M), dilihat sebagai langkah proaktif ke arah memperkukuh masa depan bola sepak tempatan.

Jelasnya, idea tersebut dilontar tanpa mempunyai apa-apa niat buruk, sebaliknya matlamat utama adalah untuk mencari jalan penyelesaian terbaik demi kelangsungan liga dan ia turut mendapat reaksi positif daripada beberapa kelab lain yang tampil menyokong usaha berkenaan

Pandangan itu disuarakan Johan selepas beliau ditemubual oleh media yang bertanyakan soalan tentang cadangan beberapa pihak untuk mengembalikan Liga M kepada Liga Semi Pro, di mana klip temubual itu tidak disiarkan penuh.

“Perkara ini sebenarnya turut disambut oleh banyak kelab yang sudah mengeluarkan kenyataan mereka masing-masing di platform media sosial yang menyambut baik cadangan perbincangan semua kelab-kelab.

“Itu menunjukkan ada sesuatu yang perlu dilakukan di mana masing-masing hanya mahukan yang terbaik untuk Liga M,” katanya.

Isu itu turut mendapat reaksi negatif, apabila bekas pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mempersoalkan tindakan Johan yang memilih untuk bersuara di luar saluran rasmi berhubung masalah yang dihadapi pasukan Liga M.

Mohd Yusoff menganggap alasan untuk menegur tidak boleh dijadikan alasan apabila saluran rasmi seperti mesyuarat Ahli Lembaga, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Kongres MFL jelas tersedia dan sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya.

Difahamkan, sekurang-kurangnya lima kelab lain dalam Liga M turut menyuarakan sokongan terhadap cadangan itu.

Johan turut menyuarakan kebimbangan Selangor FC terhadap cabaran ekonomi semasa yang dilihat boleh memberi kesan langsung kepada operasi kelab.

Menurutnya, peningkatan kos akibat faktor global termasuk konflik di Asia Barat antara perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

“Bukan saja disebabkan peningkatan kos, tetapi juga kebimbangan kita tentang penajaan dan jualan tiket serta jersi.

“Ketidak tentuan ekonomi berpotensi menjejaskan kehadiran penyokong ke stadium selain memberi impak kepada hasil jualan komersial kelab.

“Bila ada gangguan kepada ekonomi, penyokong akan mula berjimat cermat. Akan ada kesan di mana mereka tidak datang ke stadium kerana mahu jimatkan minyak dan jersi juga tidak akan terjual,” ujarnya.

Terdahulu, Penang FC, Negeri Sembilan FC, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC dan Kuching City menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN