PETALING JAYA: Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky menegaskan fokus utama kini adalah mempersiapkan pemain menghadapi cabaran acara berpasukan menjelang Piala Thomas dan Uber selepas kegagalan di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026, kelmarin.
Kem badminton negara menerima tamparan hebat apabila beregu lelaki No.1 dunia merangkap juara bertahan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bukan sahaja gagal mempertahankan gelaran, malah tersingkir di suku akhir menyaksikan tiada sebarang wakil negara mara ke separuh akhir.
Kegagalan itu bukan sekadar keputusan mengecewakan, sebaliknya mencerminkan isu lebih besar apabila pemain utama dilihat masih bergelut mengutip mata kritikal ketika berdepan tekanan tinggi.
Situasi tersebut menurut Rexy perlu dijadikan amaran jelas bahawa tahap semasa belum cukup untuk bersaing secara konsisten di pentas tertinggi Asia.
“Kita perlu kekal optimis dan terus meningkatkan motivasi pemain kerana cabaran sebenar kini adalah menghadapi Piala Thomas dan Uber yang menuntut semangat berpasukan lebih tinggi,” kata Rexy kepada Utusan Malaysia.
Turut menerima nasib sama tewas di suku akhir ialah pasangan beregu wanita No.1 negara Pearly Tan-M. Thinaah serta juara dunia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, sekali gus menguatkan gambaran kemerosotan serentak dalam tiga sektor utama.
Dalam pada itu, Rexy mengakui kegagalan mempertahankan gelaran amat mengecewakan sambil menyifatkan ianya sebagai realiti pahit apabila lawan seperti Korea Selatan lebih tenang dan klinikal dalam mengawal mata penting.
“Memang sangat sayang apabila kita gagal mempertahankan gelaran, namun itulah hakikat dalam sukan apabila lawan seperti Korea bermain lebih baik dan bijak mengawal mata penting,” katanya.-UTUSAN










