FAM macam rumah 'usang'

FAM macam rumah ‘usang’

AHMAD SHAPAWI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyifatkan keadaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini seperti sebuah rumah usang yang tidak lagi diyakini untuk didiami.

Katanya, asas struktur badan induk bola sepak negara itu dilihat longgar, manakala “tiang-tiangnya” pula belum tentu kukuh untuk terus menyokong pembangunan sukan berkenaan.

“FAM hari ini ibarat rumah yang kita sendiri tidak pasti sama ada asasnya masih kukuh atau tidak. Jika asas pun goyah, bagaimana kita mahu berdiri teguh?

“Justeru, individu yang layak menerajui FAM mestilah seseorang yang sanggup membina semula asasnya terlebih dahulu, bukan sekadar menghias luaran agar tampak gah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmad Shapawi menegaskan, pembinaan semula itu memerlukan masa, namun ia adalah langkah penting bagi memastikan kelangsungan dan kekuatan bola sepak negara.

Beliau turut mengingatkan keutamaan tidak seharusnya diberikan kepada imej atau kemewahan semata-mata, sebaliknya penekanan perlu diberikan kepada pembangunan akar umbi secara menyeluruh.

“Tidak perlu hiasan gemerlapan jika asas masih longgar. Kita perlukan pemimpin yang benar-benar berpengalaman membangunkan sukan dan bangsa, bukan yang mengejar kepentingan peribadi,” ujarnya.

Tambah beliau, kejayaan FAM tidak boleh diukur melalui pencapaian segelintir pihak sahaja, sebaliknya perlu melibatkan semua ahli gabungan di bawahnya.

“Jika hanya satu dua yang berjaya, itu bukan kejayaan sebenar. Presiden FAM mesti mengutamakan semua ahli gabungan agar keseluruhan ekosistem bola sepak negara dapat berkembang seiring,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Shapawi mengingatkan agar FAM tidak dijadikan sebagai “kuda tunggangan” oleh mana-mana pihak untuk kepentingan diri.

Sebaliknya, beliau menegaskan hubungan erat dengan kerajaan perlu terus diperkukuh kerana sokongan itu menjadi tulang belakang kepada kestabilan organisasi.

“Realitinya, tanpa kerajaan, FAM tidak akan kuat. Hormati sokongan yang diberikan, jangan ambil kesempatan,” katanya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN