PETALING JAYA: Jentera pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC) dilihat kebal menjelang aksi Liga Super menentang DPMM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Pemain pertahanan tengah, Ahmad Khuzaimi Piee menyifatkan prestasi benteng pertahanan skuad Jang menunjukkan peningkatan ketara meskipun saingan liga berehat seketika.
Katanya, walaupun pasukan masih belum benar-benar mencapai tahap konsisten untuk melakar rekod tanpa bolos, namun terdapat perkembangan dalam aspek komunikasi dan organisasi pertahanan.
“Kita boleh lihat banyak peningkatan, khususnya di bahagian bertahan. Walaupun masih ada perlawanan yang kita tak dapat ‘clean sheet’, secara keseluruhan memang ada peningkatan,” katanya.
Mengulas kesan rehat panjang sempena Hari Raya Aidilfitri, Khuzaimi menegaskan ia bukan alasan untuk menjejaskan persefahaman dalam pasukan, apatah lagi sebagai pemain profesional.
“Bagi saya, sebagai pemain profesional, itu bukan isu. Semasa rehat pun kita ada dua aksi persahabatan dan dari situ kita nampak komunikasi dalam kalangan pemain semakin baik,” jelasnya.
Tambahnya lagi, beliau optimis NSFC mampu menampilkan aksi lebih kemas dan berdisiplin ketika berdepan cabaran DPMM FC di gelanggang sendiri di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam ini.
Untuk rekod, pada aksi pertama di Brunei, skuad kendalian K. Rajan sekadar mencatatkan keputusan seri sekaligus menjadikan aksi di tempat sendiri sebagai peluang untuk melakar kemenangan.-UTUSAN










