PETALING JAYA: Pengarah teknikal berbasikal negara, John Beasley memberi amaran keras kepada barisan pelumba trek kebangsaan susulan prestasi hambar pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina yang berakhir Selasa lalu.
Beliau menegaskan tiada lagi tempat selesa bagi setiap atlet dan mereka perlu meningkatkan tahap disiplin dan komitmen sekiranya mahu terus kekal dalam program berprestasi tinggi negara.
Skuad elit negara menamatkan saingan dengan hanya dua pingat perak, merosot ketara berbanding pencapaian edisi lalu di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan dengan dua emas, empat perak dan empat gangsa.
“Setiap atlet perlu bertanggungjawab terhadap prestasi masing-masing dan komitmen serta etika kerja perlu dipertingkatkan kerana peluang di peringkat ini perlu diraih, bukannya diberi,” kata Beasley kepada Utusan Malaysia.
Pada ACC 2026 kali ini, ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Asri menyumbang dua pingat perak menerusi pecut berpasukan wanita dan ujian masa 1 kilometer (km).
Beasley turut memaklumkan satu pertemuan bersama barisan kejurulatihan akan diadakan dalam masa terdekat bagi menilai semula keseluruhan prestasi pasukan.
“Saya sebelum ini mengambil langkah ke belakang untuk memberi peluang kepada jurulatih memimpin pasukan.
“Namun berdasarkan apa yang kami lihat di Kejohanan Asia, perlu ada penekanan lebih kuat terhadap analisis prestasi, semakan perlumbaan dan pembangunan taktikal melalui video,” katanya.
Untuk rekod, jurulatih kelahiran Australia itu dilantik menjadi pengarah teknikal bagi seluruh program sukan berbasikal kebangsaan termasuk lebuh raya, BMX, sejak Januari tahun lalu dan melepaskan jawatan ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan kepada Harnizam Basri.-UTUSAN










