NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tidak menjanjikan emas pada Pusingan Akhir Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan pada 24 April ini.
Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu menegaskan beliau tidak mahu terperangkap dengan janji besar yang akhirnya memakan diri sendiri.
Sebaliknya, pelumba yang meraih emas keirin di Piala Dunia Trek di Perth itu memilih pendekatan lebih selamat meskipun bakal berlumba di hadapan penyokong sendiri.
Beliau menyifatkan penyertaan di Nilai sebagai medan ujian penting sebelum bersedia di pentas lebih besar seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun ini.
“Saya berharap untuk yang pertama mara ke final dahulu dan kemudian berharap dapat berdiri di atas podium. Nak cakap mahu menang itu mungkin terlalu meletakkan harapan tinggi.
“Saya masih belum melalui fasa pengurangan beban latihan serta belum berada pada tahap prestasi terbaik,” kata Azizulhasni selepas sesi lawatan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari di sini, semalam.
Pada siri pertama Piala Dunia Trek di Perth bulan lalu, Azizulhasni meraih emas dalam acara keirin menumpaskan pelumba No.1 dunia, Matthew Richardson.
Aizuhasni mengakui mampu menundukkan pelumba elit walaupun hanya berada pada prestasi sederhana, satu petanda bahaya buat pencabar lain di Nilai.
“Saya masih belum berada pada tahap prestasi terbaik. Ia membuka mata bukan saya sahaja, tetapi seluruh dunia tidak semestinya saya perlu berada pada prestasi terbaik untuk menang, walaupun pada tahap sederhana saya masih mampu menewaskan pelumba hebat,” katanya.- UTUSAN










