Azizulhasni di persimpangan LA 2028

Azizulhasni di persimpangan LA 2028

Mohd Azizulhasni Awang bersama keluarganya selepas upacara penyampaian pingat acara keirin Kejohanan Trek Piala Dunia di Velodrom Nasional Nilai, baru-baru ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memberi bayangan bahawa impian ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 bukan satu keputusan mudah untuk dimuktamadkan.

Pada usia 38 tahun, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu kini berdepan dilema antara meneruskan karier elit atau mengutamakan komitmen keluarga.

“Jika saya mahu teruskan hingga LA 2028, terlalu banyak pengorbanan yang perlu dibuat.

“Saya kini bapa kepada empat anak dan hubungan kami sangat rapat, selain isteri saya juga sudah banyak berkorban sepanjang perjalanan karier ini,” kata Azizulhasni.

Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu memberi bayangan sebelum ini bahawa Sukan Asia 2026 pada September ini menjadi penutup kariernya.

Namun, keputusan untuk terus berlumba turut dipengaruhi keperluan sokongan kewangan dan struktur profesional yang lebih stabil.

Azizulhasni menjelaskan beliau lebih cenderung bergerak sebagai pelumba profesional tanpa bergantung kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN)

Menurutnya, keperluan kepada tajaan kukuh serta pasukan sains sukan menjadi faktor kritikal dalam memastikan prestasinya kekal di tahap tertinggi.

“Sebagai contoh, dana, saya pun kalau boleh tak nak mengharapkan KBS, MSN juga, kalau boleh teruskan karier profesional macam ini dan kena bincang dengan penaja.

“Dan saya rasa kalau nak ke LA, kena ada penaja yang mantap sebab saya perlukan sokongan sains sukan yang kuat, sebab pada usia ini pemulihan memang paling penting,” katanya.

Namun, prestasi semasa membuktikan bekas juara dunia itu masih relevan apabila meraih dua emas keirin dan dua gangsa pecut individu dalam siri Piala Dunia Trek musim ini.

Malah, Azizulhasni turut menewaskan nama besar seperti Matthew Richardson dan Harrie Lavreysen sekali gus menguatkan hujah bahawa beliau masih berbisa di pentas elit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN