MADRID: Vinicius Junior muncul wira Real Madrid apabila menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya menewaskan Atletico Madrid 3-2 dalam aksi derbi penuh dramatik di Stadium Santiago Bernabeu, semalam.
Kemenangan itu memastikan Madrid terus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Barcelona dengan jurang kekal empat mata dalam saingan La Liga.
Skuad kendalian Alvaro Arbeloa itu bangkit selepas ketinggalan pada babak pertama hasil jaringan Ademola Lookman.
Namun, Madrid kembali garang sejurus bersambung babak kedua apabila Vinicius dan Federico Valverde menjaringkan gol untuk meletakkan tuan rumah di depan.
Atletico tidak mengalah apabila Nahuel Molina meledak gol penyamaan menerusi rembatan jarak jauh yang menarik tetapi Vinicius sekali lagi mencuri tumpuan dengan jaringan kemenangan.
“Kami menunjukkan ketahanan mental dan kekuatan yang layak dengan lencana kelab ini. Ia menyukarkan keadaan dan kami terpaksa berjuang habis-habisan,” kata Arbeloa.
Kemenangan itu melengkapkan minggu cemerlang Madrid selepas mereka turut menyingkirkan Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara, baru-baru ini.
Sementara itu, Vinicius yang kini menjaringkan 10 gol dalam 11 perlawanan terakhir mengakui gembira dengan prestasinya.
“Saya bekerja keras sepanjang musim untuk saat seperti ini. Apabila tiba masa penting, saya sentiasa berikan yang terbaik,” katanya. – AFP











