RIYADH: Cristiano Ronaldo berisiko terlepas aksi di Piala Dunia 2026 selepas dilaporkan mengalami kecederaan otot ketika membantu Al-Nassr menewaskan Al-Feyha 3-1 dalam saingan Liga Pro Saudi.
Penyerang berusia 41 tahun itu memberi isyarat kepada pasukan perubatan di bangku simpanan sebelum dikeluarkan pada minit ke-80 dalam keadaan jelas tidak selesa, sejurus Al-Nassr berada di depan.
Lebih membimbangkan, Ronaldo kemudian dilihat meletakkan pek ais di belakang lututnya petanda awal kemungkinan kecederaan hamstring yang boleh menjejaskan impian beraksi di buat kali terakhir di Piala Dunia.
Jika kecederaan tersebut serius, impian Ronaldo untuk mencipta rekod penampilan keenam di pentas tertinggi bola sepak dunia mungkin sekadar tinggal angan-angan kerana Piala Dunia 2026 kini berbaki tiga bulan lagi.
Pengurus Al-Nassr, Jorge Jesus, mengesahkan kapten Portugal itu akan menjalani pemeriksaan lanjut.
“Ronaldo mengalami keletihan otot. Pasukan perubatan akan menjalankan ujian segera untuk menentukan tahap kecederaannya,” katanya.
Sekiranya terlepas Piala Dunia nanti, ia pasti tamparan hebat buat Portugal yang diundi dalam kumpulan bersama Colombia, Uzbekistan serta salah satu daripada DR Congo, Jamaica atau New Caledonia.
Dalam masa sama, Ronaldo kini hanya memerlukan 35 gol lagi untuk melengkapkan 1,000 jaringan sepanjang karier profesionalnya, satu pencapaian luar biasa yang belum pernah dicapai mana-mana pemain moden.
Di peringkat domestik, Al-Nassr terus mengungguli liga dengan kelebihan dua mata ke atas Al-Ahli dan tiga mata di depan Al-Hilal.
Setakat musim ini, Ronaldo sudah meledak 21 gol liga, hanya dibezakan satu jaringan di belakang Julian Quinones (Al-Qadsiah) dan dua di belakang Ivan Toney dalam perebutan Kasut Emas.-AGENSI










