KUALA LUMPUR: Rexy Mainaky tidak mahu peminat terlalu menyanjungi Aaron Tai-Kang Khai Xing biarpun beregu muda negara itu beraksi cemerlang sehingga digelar ‘giant killer’.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu berkata, beliau cukup ‘masak’ dengan tingkah laku pemain Malaysia yang seperti alami ‘alahan’ jika terlalu dipuji.
“Saya cuba belajar daripada pengalaman, pemain Malaysia ini jangan disanjung sangat dulu lah. Kita tak mahu tingkah laku yang salah berlaku.
“Jadi kita mengharapkan konsistensi daripada pemain muda seperti Aaron dan Khai Xing ini. Saya tak mahu sanjung dulu,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di ABM, kelmarin.
Jurulatih kelahiran Indonesia itu sudah berkhidmat bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) cukup lama, sejak era Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bergelar beregu utama negara.
Justeru, beliau cukup arif dengan tingkah laku pemain di bawah bimbingannya dan lebih selesa, perhatian ramai tidak terlalu bertumpu kepada Aaron-Khai Xing yang berusia 19 tahun itu.
Menurut Rexy, Aaron-Khai Xing mempamerkan peningkatan prestasi yang cukup ketara, selepas kemajuan yang agak perlahan dipamerkan beregu No. 27 dunia itu pada tahun lalu.
“Tahun lalu, Khai Xing dibelenggu kecederaan sehingga mengganggu prestasi mereka dan pada awal tahun ini, secara tiba-tiba beregu ini menunjukkan perubahan yang ketara bermula di All England,” katanya.
Ditanya sama ada Aaron-Khai Xing turut diberi peluang bersaing dengan Arif Junaidi-Yap Roy King bagi merebut slot beregu skuad Piala Thomas, Rexy lebih selesa meninggalkan persoalan itu kepada pengurusan BAM untuk membuat keputusan akhir.
“Kalau mereka di Orleans Masters (sedang berlangsung) boleh ‘hentam’ semua (pencabar), tetapi, mereka sebenarnya sudah buktikan kemampuan diri.
“Mereka ‘hentam’ (dua) pasangan Indonesia (di Terbuka Switzerland), mereka sudah buktikan. Tinggal sekarang kalau mereka boleh jadi juara, mungkin pihak pengurusan (BAM) boleh berubah fikiran,” ujarnya.-UTUSAN










