KUALA TERENGGANU: Selepas lebih empat dekad berlarutan, isu tanah ladang komersial Felda di Terengganu akhirnya menemukan jalan penyelesaian.
Persetujuan itu dimuktamadkan menerusi Perjanjian Terma-Terma Utama bagi penyelesaian tanah ladang komersial (tidak berpenetoka) antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Felda yang ditandatangani di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan penyelesaian isu itu sebagai berita gembira menjelang Syawal.
Beliau berkata, kerajaan negeri sejak awal sentiasa komited dalam setiap usaha rundingan bagi merungkai isu itu yang berlarutan sekian lama.
“Alhamdulillah, hasil rundingan antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Felda ini diharap dapat menoktahkan segala kekusutan yang berlaku sebelum ini. Ia juga adalah satu berita gembira menjelang Syawal kepada semua pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan dalam media sosialnya hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Isu Tanah Felda, Datuk Dr.mAzman Ibrahim berkata, isu tersebut berpunca daripada pembangunan ladang komersial oleh Felda di atas tanah milik kerajaan negeri seluas kira-kira 16,761 hektar tanpa pemberimilikan sah sejak hampir 40 tahun lalu.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil melibatkan bayaran premium tanah, cukai tanah serta perkongsian keuntungan sepanjang tempoh berkenaan.
“Kerajaan negeri telah melalui pelbagai pendekatan termasuk rundingan dan perbincangan serta mengemukakan surat, namun tidak mencapai penyelesaian sebelum ini.
“Susulan itu, tindakan penguatkuasaan Notis 425 di bawah Kanun Tanah Negara pada 30 November 2025 terpaksa diambil sebagai langkah terakhir bagi menuntut hak negeri, walaupun ia merupakan keputusan yang sukar,” katanya.
Beliau berkata, penguatkuasaan notis tersebut akhirnya membuka ruang kepada siri rundingan yang lebih konstruktif antara kedua-dua pihak sehingga berjaya mencapai persetujuan.
Tambahnya, matlamat utama kerajaan negeri bukan untuk merampas atau menghentikan operasi Felda, sebaliknya memastikan status tanah tersebut disahkan melalui pemberimilikan yang sah mengikut undang-undang.
“Melalui pendekatan ini, ladang komersial berkenaan boleh terus beroperasi secara sah, tertakluk kepada bayaran premium, cukai tanah serta kadar perkongsian keuntungan yang dipersetujui bersama,” jelasnya.
Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham, manakala Felda diwakili Pengarah Besarnya, Dr. Suzana Idayu Wati Osman.
Majlis tersebut turut disaksikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, bersama Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.
Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah seterusnya adalah Felda akan mengemukakan permohonan pemberimilikan tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri dalam tempoh yang dipersetujui.
Katanya, kerajaan negeri komited untuk memberikan kerjasama penuh bagi melancarkan proses pemberian hak milik bagi semua lot tanah terlibat di daerah Besut, Setiu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman. – UTUSAN










