AMSTERDAM: Belanda menetapkan aksi menentang Algeria di Rotterdam pada 3 Jun ini sebagai persiapan terakhir sebelum berlepas ke Amerika Syarikat(AS) bagi menghadapi saingan Piala Dunia 2026.
Menurut kenyataan rasmi Persatuan Bolasepak Belanda, perlawanan persahabatan itu menjadi pentas terakhir buat skuad Oranje menguji kombinasi terbaik serta tahap kecergasan pemain sebelum memulakan kempen sebenar.
Skuad kendalian Ronald Koeman dijangka berlepas ke AS sejurus tamat aksi tersebut dan merancang satu lagi perlawanan pemanas badan di Amerika sebagai sentuhan akhir sebelum turun beraksi dalam Kumpulan F.
Belanda bakal membuka tirai kempen menentang Jepun di Dallas pada 14 Jun, dalam perlawanan yang dijangka menjadi penentu awal rentak mereka di pentas dunia.
Dalam pada itu, Algeria pula bakal bersaing dalam Kumpulan J bersama Argentina , serta dua lagi pasukan Eropah dan Asia Barat iaitu Austria dan Jordan.
Belanda turut dijadual berdepan Tunisia di Kansas City pada 25 Jun dalam aksi kumpulan yang menjanjikan cabaran berbeza daripada wakil Afrika Utara itu.
Sebagai langkah awal memantapkan persiapan, Oranje terlebih dahulu akan mengharungi dua aksi persahabatan bulan ini, masing-masing menentang Norway di Amsterdam dan Ecuador di Eindhoven.
Rangkaian perlawanan ini dilihat sebagai platform penting buat Belanda memperhalusi taktikal serta membina keserasian menjelang kejohanan terbesar bola sepak dunia itu.-AGENSI










