WASHINGTON: Bahang Piala Dunia FIFA 2026 semakin terasa apabila harga tiket perlawanan akhir kejohanan itu dilaporkan mencecah sehingga RM646,000 di pasaran jualan semula, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak dunia.
Presiden FIFA, Gianni Infantino menegaskan kesemua 104 perlawanan edisi 2026 dijangka ‘habis dijual’ meskipun jualan rasmi masih dibuka bagi kejohanan yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai itu.
Menurutnya, dalam tempoh empat minggu sahaja, lebih 508 juta permintaan tiket direkodkan dari lebih 200 negara bagi merebut kira-kira tujuh juta tiket yang ditawarkan.
“Permintaan sangat luar biasa. Setiap perlawanan habis dijual. Kita belum pernah menyaksikan situasi seperti ini sebelum ini,” katanya dalam temu bual bersama CNBC dari Mar-a-Lago Resort.
Edisi sulung yang menampilkan 48 pasukan itu akan berlangsung di 16 bandar di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, dengan perlawanan akhir dijadualkan di MetLife Stadium.
Infantino berkata, faktor lokasi tiga negara tuan rumah berkenaan turut mempengaruhi lonjakan harga tiket yang dipersoalkan persatuan penyokong.
Laporan media antarabangsa menyebut tiket kategori tiga bagi aksi pembukaan di Mexico City yang asalnya berharga sekitar RM4,028, dijual semula hampir RM24,000.
Lebih mengejutkan, tiket kategori sama untuk perlawanan akhir yang pada asalnya bernilai kira-kira RM15,525 dilaporkan melonjak sehingga RM646,875 pada awal Februari lalu. – AGENSI/UTUSAN










