Arab Saudi, Qatar raih slot Piala Dunia

Arab Saudi, Qatar raih slot Piala Dunia

Pemain Arab Saudi meraikan kejayaan layak ke Piala Dunia 2026 di Jeddah, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEDDAH: Arab Saudi mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 biarpun terikat tanpa jaringan dengan Iraq dalam aksi kelayakan terakhir, semalam.

Keputusan seri itu sudah cukup untuk membawa skuad bimbingan Herve Renard ke Piala Dunia di di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Dalam aksi itu, penjaga gol, Nawaf Al-Aqidi muncul wira apabila menafikan sepakan percuma Hassan Abdulkareem pada masa kecederaan.

“Saya jangka ramai penyokong akan hadir dan suasana memang luar biasa, penyokong benar-benar memberi semangat kepada pemain.

“Walaupun Salem (Al-Dawsari) dipilih pemain terbaik, bagi saya malam ini milik penyokong. Beberapa bulan lalu bukan masa yang mudah, tetapi kami berjaya mampu mencapai sasaran dan itu paling penting,” kata Renard.

Keputusan itu menyaksikan Arab Saudi menjuarai Kumpulan B pusingan keempat kelayakan Asia, mengumpul empat mata sama seperti Iraq tetapi mendahului berdasarkan jumlah jaringan selepas menewaskan Indonesia 3-2 sebelum ini.

Iraq pula akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi timbal balik bulan depan untuk menentukan pasukan yang mara ke pusingan play-off antara benua yang dijadual berlangsung pada Mac depan.

Turut mengesahkan tempat ke Piala Dunia dari benua Asia ialah Qatar yang menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 pada aksi penuh mendebarkan di Stadium Jassim Bin Hamad, semalam.

Tuan rumah Piala Dunia 2022 itu, yang gagal melepasi peringkat kumpulan dalam penampilan sulung tiga tahun lalu, bangkit menampilkan aksi mantap dengan dua gol pada separuh masa kedua menerusi kapten, Boualem Khoukhi dan Pedro Miguel.

Dua umpanan gol disumbangkan pemain terbaik Asia dua kali, Akram Afif yang menjadi nadi utama kemenangan penting itu.

Kemenangan itu memastikan Qatar, juara dua edisi terakhir Piala Asia, menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan A pusingan keempat kelayakan Asia, sekali gus menempah tiket automatik ke pusingan akhir di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico tahun depan.

Sementara itu, Ivory Coast, Senegal dan Afrika Selatan melengkapkan senarai sembilan wakil automatik Afrika ke Piala Dunia tahun depan selepas muncul juara kumpulan masing-masing pada aksi terakhir kelayakan, semalam. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN