PARIS: Raheem Sterling yakin Feyenoord mampu mengembalikan semula prestasinya selepas gagal menarik minat kelab di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Semalam, kelab Belanda itu mengumumkan bekas penyerang Liverpool dan Manchester City itu akan beraksi bersama mereka sehingga akhir musim ini.
Pemain berusia 31 tahun yang mengumpul 82 penampilan bersama England itu dilepaskan oleh Chelsea bulan lalu dan berstatus ejen bebas.
Sterling berkata, dia mengambil masa sebelum membuat keputusan menyertai Feyenoord dan turut berbincang dengan beberapa kelab lain.
“Saya yakin Feyenoord adalah tempat yang boleh menggembirakan saya dan memberikan saya peluang untuk membuktikan diri sebagai ahli penting pasukan.
“Bermain di luar negara adalah satu cabaran baharu buat saya dan saya bersedia menyahutnya,” kata Sterling.
Feyenoord kini menghuni tangga kedua Eredivisie Belanda, ketinggalan jauh 17 mata di belakang pendahulu PSV Eindhoven.
Sterling pernah dianggap antara pemain sayap terbaik England ketika dia menyertai Chelsea dari Manchester City menerusi perpindahan bernilai £47 juta (RM249 juta) pada 2022.
Namun perpindahan ke barat London itu tidak menjadi apabila dia gagal mengulangi prestasi cemerlangnya bersama City.
Dia sebelum ini dikaitkan dengan Juventus, Bayer Leverkusen dan Fulham menjelang permulaan musim ini, namun perpindahan itu tidak menjadi kenyataan. – AGENSI










