PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh dua minggu kepada pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, James Chai untuk hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes pelaburan ARM yang bernilai RM1.12 bilion.
SPRM berkata, pihaknya sanggup menampung kos penerbangan pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan berkenaan.
Katanya, seramai 17 saksi telah dirakam percakapan, melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“SPRM juga telah mengambil dokumen penting termasuk perjanjian dan dokumen sokongan dan dijangka akan merakam percakapan lapan lagi saksi termasuk individu yang berada di luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan ituc, James Chai telah dikenal pasti sebagai individu yang diperlukan untuk membantu siasatan.
Jelasnya, SPRM telah mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi mengesan beliau pada 4 Mac lalu.
“Susulan itu, SPRM menerima surat daripada peguam beliau bertarikh 9 Mac lalu yang memaklumkan bahawa James Chai tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan dengan alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.
“SPRM kemudiannya telah mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac lalu memberi lanjutan masa untuk James Chai hadir semalam namun beliau sekali lagi gagal memaklumkan keinginan untuk hadir,”ujarnya.
Sehubungan itu, SPRM telah mengeluarkan surat pada hari ini yang menetapkan bahawa dia perlu hadir dalam tempoh dua minggu.
Jelas kenyataan itu, sekiranya dia masih gagal hadir setelah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali, SPRM akan mempertimbangkan untuk mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa termasuk INTERPOL atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadirannya.
“SPRM menegaskan bahawa semua individu yang dipanggil untuk membantu siasatan wajib memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
“Sekiranya James Chai berpendirian bahawa dia tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan yang sewajarnya adalah tampil memberi keterangan kepada SPRM.
“Bukannya terus mengemukakan penjelasan di ruang awam tanpa menghadirkan diri kepada pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, SPRM menegaskan bahawa tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang, dan siasatan akan diteruskan secara profesional, bebas dan berasaskan bukti. – UTUSAN










